Malaysia Tampil Tiga Inisiatif Utama Agenda Digital Pada Forum WSIS 2026
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh agenda digital secara menyeluruh berteraskan pembangunan bakat, pemantapan tadbir urus digital serta pengukuhan kepercayaan awam menerusi tiga inisiatif utama yang ditampilkan pada Forum Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) 2026.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata inisiatif itu ialah Rangka Kerja Kemahiran 5G ASEAN dan Platform Pembangunan Kapasiti, Pelan Lima Tahun 2030 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta portal Sebenarnya.my, mencerminkan komitmen negara dalam membangunkan ekosistem digital yang inklusif, diyakini dan bersedia menghadapi masa depan, di samping memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat bermakna kepada masyarakat.
Beliau berkata walaupun ketiga-tiga inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan digital berbeza, kesemuanya berkongsi matlamat sama iaitu memperkukuh bakat, tadbir urus dan kepercayaan bagi menyokong transformasi digital Malaysia untuk jangka panjang.
“Rangka Kerja Kemahiran 5G ASEAN memberi tumpuan kepada pembangunan bakat yang bersedia menghadapi masa depan, Pelan Lima Tahun 2030 MCMC mewujudkan persekitaran kondusif bagi transformasi digital yang mampan, manakala Sebenarnya.my memperkukuh kepercayaan dan keyakinan terhadap ekosistem maklumat digital," katanya ketika Sesi Tumpuan anjuran Rakan Strategik Forum WSIS di Geneva, hari ini.
Mengenai pembangunan bakat, Abdul Halim berkata Malaysia menerajui pembangunan Rangka Kerja Kemahiran 5G ASEAN menerusi rundingan melibatkan negara anggota ASEAN, pemain industri, institusi akademik dan organisasi antarabangsa.
Beliau berkata rangka kerja itu mengenal pasti 50 peranan pekerjaan kritikal, 211 kemahiran utama dan kemahiran berimpak tinggi, serta 12 jurang kemahiran berkeutamaan tinggi merentas bidang utama termasuk infrastruktur rangkaian, teknologi awan, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan data dan perkhidmatan digital.
“Ia juga direka bentuk bagi mengambil kira tahap kematangan digital yang berbeza dalam kalangan negara ASEAN serta rantau lain," katanya.
Mengenai aspek tadbir urus, beliau berkata Pelan Lima Tahun 2030 MCMC menjadi pelan hala tuju strategik negara bagi transformasi digital, dengan memberi tumpuan kepada peluasan kesalinghubungan yang bermakna, pemerkasaan kepercayaan digital, penambahbaikan tadbir urus data, pembangunan bakat digital serta pemerkasaan inovasi yang bertanggungjawab.
"Pelan itu mengguna pakai pendekatan berteraskan insan bagi memastikan kemajuan teknologi disokong oleh tadbir urus yang kukuh, kebertanggungjawaban serta kepercayaan awam," katanya.
Sementara itu, Abdul Halim berkata portal Sebenarnya.my kini menjadi antara tonggak penting ekosistem kepercayaan digital Malaysia menerusi penyediaan akses tepat pada masanya kepada maklumat yang telah disahkan, hasil kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan.
"Sehingga 31 Mei tahun ini, portal semakan fakta nasional itu merekodkan 439.6 juta tontonan, mencerminkan tahap keyakinan dan kebergantungan orang ramai yang tinggi terhadap platform berkenaan sebagai sumber maklumat yang sahih," katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) serta rakan antarabangsa dalam merealisasikan aspirasi WSIS ke arah masa depan digital yang lebih inklusif, saling berhubung dan diyakini.
Sejajar dengan komitmen itu, Malaysia turut memohon untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.
-- BERNAMA
Berita terkini
- IHW 2026: Jana Peluang Pasaran, Promosi Malaysia
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah