08/07/2026 10:34 PM

Tiada Penglibatan Komuniti Rohingya Dalam Jenayah Berat Di Kelantan

KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Polis Kelantan mengesahkan tiada penglibatan komuniti Rohingya dalam jenayah berat di negeri itu setakat ini, namun semua aktiviti mereka dipantau secara berterusan, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata berdasarkan rekod polis, terdapat lebih 5,000 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam kalangan masyarakat Rohingya di Kelantan manakala jumlah keseluruhan termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen dan berada dalam tahanan dianggarkan melebihi 8,000 orang.

“Semua aktiviti mereka dipantau oleh polis. Setakat ini, kami tidak mengesan penglibatan mereka dalam jenayah berat. Kira-kira 500 kes direkodkan dalam pelbagai kesalahan jenayah membabitkan komuniti berkenaan, namun kebanyakannya hanya melibatkan sesama mereka.

“Kes paling serius yang direkodkan ialah rogol, namun ia juga dilaporkan berlaku dalam kalangan komuniti berkenaan sendiri,” katanya di sini hari ini.

Beliau ketika mengulas dakwaan wujud pelantikan pemimpin komuniti Rohingya di negeri itu berkata perkara itu tidak dilakukan atau diiktiraf oleh mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

“Itu hanya pelantikan dalam kalangan mereka sendiri sebagai komuniti minoriti. Mereka adalah pelarian warga asing dan tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi sekiranya diperlukan, termasuk memastikan warga asing tidak menyalahgunakan lesen perniagaan milik penduduk tempatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima, kawasan lorong berhampiran bekas Stesen Bas Kota Bharu sering menjadi tumpuan komuniti Rohingya dan warga asing lain, terutama pada hujung minggu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

“Polis akan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti status individu yang berada di kawasan itu, sama ada warga asing yang sah atau sebaliknya.

“Kami akan berkolaborasi dengan jabatan lain dan PBT bagi menangani masalah itu. Jika ada yang didapati melakukan kesalahan, mereka akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA