08/07/2026 11:41 PM

Pemimpin Perlu Terus Belajar Tanpa Abai Nilai, Akhlak - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Seorang pemimpin perlu terus belajar dan berasimilasi dengan pendekatan baharu tanpa mengabaikan asas penting seperti kepercayaan, nilai dan akhlak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkara itu beliau kongsikan ketika bertemu 22  pemimpin muda dari 12 negara yang sedang menghadiri AZM Global Leaders Kuala Lumpur Summit 2026 di Putrajaya, petang tadi.

“Saya berkongsi pandangan cabaran kepimpinan dalam jamak budaya dan latar belakang harus disandarkan kepada hikmah, kebijaksanaan dan kesabaran,” katanya. 

Beliau turut mendoakan agar pengasas projek itu Muna AbuSulayman bersama anak muda yang terpilih terus diberi kekuatan untuk menyempurnakan ikhtiar berkenaan dalam membina jaringan awal merentas negara dan latar belakang, demi kepentingan bersama pada masa hadapan. 

-- BERNAMA