08/07/2026 10:38 PM

Imigresen Serbu Dua Rumah Mewah Jadi Transit Migran, Tahan 10 Warga Bangladesh

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia menahan 10 warga Bangladesh, termasuk dua lelaki yang berperanan sebagai penjaga premis dalam serbuan ke atas dua kediaman mewah di ibu negara semalam.  

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan ke atas premis yang dijadikan rumah transit bagi menempatkan pendatang tanpa izin itu dilakukan dalam operasi khas bermula 12.30 tengah malam.

Beliau berkata semakan mendapati seorang lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara dalam sektor pembinaan manakala dua wanita berada dalam senarai hitam Jabatan Imigresen tetapi masuk semula ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan selebihnya tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah.

“Premis kediaman mewah itu dijadikan rumah transit sementara yang beroperasi beberapa bulan lepas bagi menempatkan warga asing yang dipercayai memasuki negara ini melalui pintu masuk tidak sah sebelum dihantar ke lokasi yang ingin dituju.

“Premis itu dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran selesai dengan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM700 hingga RM1,500 bagi setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita tiga pasport Bangladesh milik individu lain dan wang tunai RM1,595 dipercayai hasil kegiatan itu.

Kesemua warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 42 tahun itu dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai penghantar ditahan bersama empat migran warga India dalam serbuan di sekitar Terminal Bersepadu Selatan dekat sini petang semalam.

Beliau berkata semakan awal mendapati seorang lelaki warga India yang ditahan telah disenarai hitam tetapi masuk semula ke negara ini tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan.

“Kegiatan ini dipercayai beroperasi sejak tahun lepas dengan membawa masuk warga asing, terutama dari India ke Malaysia dengan bayaran RM6,000 seorang tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan sebelum diambil oleh penghantar di hentian bas dan dibawa ke lokasi yang dituju,” katanya.

Zakaria berkata pihaknya turut menyita dua telefon bimbit, empat pasport India dan sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

Beliau berkata kesemua individu yang ditahan berusia 18 hingga 48 tahun dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA