08/07/2026 06:58 PM

PRN Johor: Kempen Digital Kian Rancak Tiga Hari Sebelum Pengundian

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Platform media sosial terus menjadi medium utama calon daripada pelbagai parti politik bagi melakukan pecutan akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berbaki tiga hari sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

Selain turun padang secara fizikal, calon-calon yang bertanding termasuk daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat memperhebat gerakan di platform Facebook, TikTok, Instagram dan X untuk menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Pendekatan kreatif yang merangkumi perkongsian manifesto, penjelasan isu semasa serta jadual kempen dan aktiviti harian itu digunakan secara meluas bagi menarik perhatian 2.7 juta pengundi, terutama golongan muda dan mereka yang masih belum membuat keputusan.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh Dr Ruban misalnya memanfaatkan media sosial untuk menterjemahkan visinya dalam menjadikan Paloh sebuah kawasan luar bandar moden dan berdaya saing, dengan fokus utama terhadap pemerkasaan belia serta wanita.

Meskipun kini sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat masalah tulang belakang, pasukan kempen beliau tetap proaktif menggunakan platform digital bagi memastikan gerak kerja tidak terjejas, selain menyemarakkan momentum ceramah kemuncak yang dijadualkan berlangsung malam esok.

“Visi saya bukan sekadar membangunkan Paloh untuk hari ini tetapi membina asas yang kukuh demi generasi akan datang. Bersama, kita jadikan Paloh sebagai model pembangunan luar bandar yang membanggakan,” katanya menerusi hantaran di  Facebook “Harapan Paloh”.

Sementara itu, calon BN bagi kerusi DUN Machap yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menggunakan kelebihan platform siber untuk menyeru rakyat agar memberikan mandat kepada calon-calon daripada gabungan berkenaan.

“Saya percaya calon-calon yang diketengahkan mempunyai pengalaman, integriti serta memahami denyut nadi rakyat di kawasan masing-masing,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Di DUN Tanjung Surat, calon PH Faizul Abdul Ghani menggunakan pendekatan lebih santai dan berjiwa rakyat dengan berkongsi aktiviti ziarah masyarakat, sekali gus menonjolkan imej calon yang sentiasa mendepani denyut nadi pengundi dalam apa jua keadaan.

Kelincahan di ruang siber turut diperlihatkan calon PH bagi DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik yang dilihat paling aktif menjawab pelbagai persepsi serta menjelaskan rekod pencapaian pembangunannya sebelum ini.

Bekas Menteri Pendidikan itu secara konsisten memuat naik kandungan berkaitan pembangunan institusi pendidikan tinggi, kemudahan infrastruktur sekolah serta inisiatif merancakkan ekonomi setempat bagi memberikan pencerahan kepada pengundi.

Beliau turut menyentuh usaha yang dekat dengan rakyat seperti penyediaan kasut hitam sekolah yang menurutnya memberi kelegaan kepada ibu bapa menerusi penjimatan perbelanjaan keluarga.

Bagi calon PH di DUN Simpang Jeram Ir Nazri Abdul Rahman, media sosial berfungsi sebagai “diari digital” yang merakam ukhwah beliau bersama penduduk, termasuk momen santai bersarapan soto kambing di Warung Sri Tanjung yang tular dalam kalangan pengundi setempat.

Sentimen anak jati turut dimainkan calon PH bagi DUN Parit Raja Shazwan Dzainal Abidin yang menggunakan platform digital untuk membentangkan “Tiga Tawaran HARAPAN” khusus buat komuniti setempat bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Calon BN bagi kerusi DUN Bukit Permai Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang juga penyandang kerusi itu turut menggunakan media sosial untuk memohon sokongan rakyat Kulai.

Tidak ketinggalan, calon-calon daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Bebas turut memanfaatkan fungsi siaran langsung serta video pendek untuk mempromosikan tawaran mereka selain mengadakan sesi soal jawab secara terus.

Penggunaan infografik yang padat dan video TikTok berdurasi pendek menjadi pilihan utama bagi memastikan mesej kempen dapat dihadam dengan pantas oleh pengguna media sosial.

Kempen di alam maya itu dijangka mencapai kemuncaknya dalam tempoh 48 jam sebelum masa berkempen tamat pada 11.59 malam, 10 Julai ini memandangkan ia adalah kaedah paling efektif untuk mencapai pengundi di luar kawasan.

PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA