Kerajaan Henti Serta-merta Perolehan Peralatan Pertahanan Baharu Dari Norway - Fahmi
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan mengambil keputusan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway, kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini setelah meneliti isu terkini tindakan negara itu dalam membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara berkenaan.
Susulan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghantar notis tuntutan bernilai kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan terbabit berikutan pembatalan kontrak perolehan NSM.
MINDEF turut mengenal pasti empat negara yang berpotensi membekalkan sistem peluru berpandu antikapal bagi projek LCS susulan pembatalan itu.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pemimpin Tentera Malaysia Lawat Kawasan Sempadan Kemboja
- DKU Dibenar Mulakan Prosiding Komital Terhadap Mubarak, Lima Lagi
- Mahkamah Rayuan Bebaskan Penghantar Makanan Daripada Tuduhan Edar Kanabis
- Saintis Wanita Perlu Diperkasa Tangani Cabaran Iklim, Keterjaminan Makanan
- SPRM, MCMC Perkukuh Kerjasama Strategik, Tingkat Keupayaan Pengurusan Komunikasi Krisis