Saintis Wanita Perlu Diperkasa Tangani Cabaran Iklim, Keterjaminan Makanan
Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 8 Julai (Bernama) -- Pakar pada sebuah persidangan antarabangsa hari ini menggesa kerajaan supaya memperkasa saintis wanita untuk memainkan peranan lebih besar dalam menangani cabaran seperti pemanasan global dan keterjaminan makanan susulan perubahan iklim.
Para peserta Sidang Sulit Saintis Wanita ASEAN-India Kedua turut menyeru kerajaan melaksanakan program seimbang yang menggalakkan lebih ramai wanita menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).
Setiausaha Tetap Negara Kementerian Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Kemboja (MISTI), Dr Nhim Khemara berkata penyertaan wanita penting dalam menangani isu sosioekonomi.
“Kita perlu menangani cabaran berkaitan perubahan iklim dan isu keterjaminan makanan, di samping menggalakkan kelestarian alam sekitar serta transformasi digital.
“Cabaran ini tidak dapat ditangani secara menyeluruh tanpa memanfaatkan bakat wanita.
"Kita mesti memperkasa wanita dan menyokong kemajuan mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” kata Khemara dalam ucapan perasmiannya.
Saintis dari ASEAN dan India menghadiri sidang sulit tiga hari bertemakan “Membina Komuniti Sains, Teknologi dan Inovasi yang Inklusif” yang berlangsung di Phnom Penh.
Setiausaha Jabatan Sains dan Teknologi India (DST), Prof Umesh Waghmare berkata masa depan sains dan inovasi mestilah bersifat inklusif.
“Saintis, para pencipta dan usahawan wanita memberikan sumbangan luar biasa dalam setiap bidang sains dan teknologi.
“Namun, mereka terus berdepan cabaran yang memerlukan sokongan institusi lebih besar, rangkaian profesional lebih kukuh dan lebih banyak peluang untuk bekerjasama,” katanya menerusi mesej video.
Turut menyuarakan gesaan ke arah keterangkuman lebih besar, Penolong Setiausaha bagi Hal Ehwal Pentadbiran dan Perundangan, Jabatan Sains dan Teknologi Filipina, Dr Diana L. Ignacio, berkata kesaksamaan jantina penting untuk memacu ASEAN ke hadapan.
“Kita perlu memperluas kerangka gender serantau supaya dapat mendekati lebih ramai wanita dalam komuniti STI. Jika tidak, 50 peratus wanita tidak akan dilibatkan,” katanya pada sesi perbincangan panel.
Sidang sulit itu dianjurkan oleh MISTI Kemboja dan Institut Teknologi India Gandhinagar, dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan DST India, serta disokong oleh Dana Pembangunan Sains dan Teknologi ASEAN-India.
-- BERNAMA
Berita terkini
- MPI, Puspakom Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
- Kerani Wanita Rugi RM970,000 Diperdaya Sindiket Menyamar Pengurus Syarikat
- Anak Tempatan Kekal Dominan Di Universiti Awam, Pelajar Antarabangsa Hanya 8.9 Peratus - IPPTN
- Penyelidik Australia Guna Penyu Untuk Jejak Siklon Tropika
- Hampir 6,000 Pelaut Terkandas Di Teluk Susulan Serangan Berterusan Di Selat Hormuz - IMO