08/07/2026 08:43 PM

Hampir 6,000 Pelaut Terkandas Di Teluk Susulan Serangan Berterusan Di Selat Hormuz - IMO

ISTANBUL, 8 Julai (Bernama-Anadolu) -- Hampir 6,000 pelaut masih terkandas di dalam kapal yang tidak dapat meninggalkan Teluk dengan selamat susulan serangan berterusan terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, kata Ketua Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Setiausaha Agung IMO Arsenio Dominguez mengutuk serangan terhadap beberapa kapal dagang di Selat Hormuz sepanjang dua hari lalu dan memberi amaran yang pelaut yang tidak bersalah sekali lagi berdepan "bahaya yang amat serius."

Beliau berkata ratusan kapal masih terkandas di Teluk sejak tercetusnya konflik di Asia Barat.

"Tiada seorang pun pelaut sepatutnya perlu mempertaruhkan nyawa hanya kerana menjalankan tugas mereka," katanya.

Beliau menggesa negara pendaftar kapal, pemilik kapal, pengendali kapal serta pihak berkuasa berkaitan supaya tidak mendedahkan pelaut kepada risiko yang tidak perlu dengan membenarkan kapal melalui Selat Hormuz selagi keselamatan dan perlindungan anak kapal tidak dapat dijamin.

Beliau berkata serangan terbaharu itu meningkatkan lagi ketakutan, ketidaktentuan dan tekanan psikologi dalam kalangan kru yang masih terkandas. Beliau turut menggesa semua negara yang terlibat agar menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum, meredakan ketegangan tanpa berlengah serta memudahkan kapal yang masih terkandas di Teluk berlepas dengan selamat.

Agensi PBB itu memaklumkan bulan lepas bahawa sebanyak 46 serangan terhadap perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya disahkan sejak 28 Feb, iaitu tarikh konflik bermula, dengan mengorbankan 14 pelaut.

Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan paling strategik di dunia kerana menghubungkan Teluk dengan Teluk Oman dan Laut Arab.

-- BERNAMA-ANADOLU