Festival Kesenian Rakyat Kelantan Perkukuh Perpaduan, Semarak Seni Budaya
KOTA BHARU, 8 Julai (Bernama) -- Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 yang berlangsung di Jeti Pelancongan Tok Bali, Pasir Puteh dari 1 hingga 4 Julai lepas menjadi platform memperkukuh perpaduan dan menyemarakkan semangat Malaysia MADANI.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataan menyebut FKRK 2026 mengetengahkan pengisian mencerminkan identiti dan keunikan warisan Kelantan antaranya persembahan khas “Titih Bonda Pusaka Ayahanda” yang menggabungkan pergendangan pelbagai kaum sebagai simbol keharmonian masyarakat, di samping mengangkat seni tradisi negeri itu.
Persembahan itu menampilkan tokoh seni terkemuka tanah air seperti Roy Kapilla, Amy Search, Datuk Dr Lim Swee Tin, Paksu Agil, Megat Haikal, Zamry Gerak Khas, Joe Rajuna, Kumpulan Dikir Barat Kala Mahajara dan Kumpulan Mak Yong Kijang Mas.
Menurut JKKN, sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti interaktif termasuk Pertandingan Tarian Irama Tradisional Kanak-Kanak, Pertandingan Mek dan Awe Comey (Peragaan Busana Tradisional), Pertandingan Masakan ADABI, Pertandingan Gubahan Sirih Junjung Kelantan, Pertandingan Pulut Tradisi serta Pertandingan Permainan Tradisional.
“Selain itu, JKKN Kelantan turut menganjurkan demonstrasi sukan rakyat seperti gasing uri, pembuatan wau tradisi dan ukiran emas, di samping persembahan fragmen seni tradisi termasuk Wayang Kulit, Mak Yong, Main Teri dan Menora,” menurut kenyataan itu.
Festival itu turut dimeriahkan dengan jualan produk kraf, pameran agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta program Kelantan Berselawat bagi mengimarahkan malam Jumaat.
Keunikan FKRK 2026 juga diserlahkan menerusi kenduri rakyat, perarakan Perahu Kolek Berhias yang mempamerkan seni ukiran bermotif awan larat serta Wakaf Seni Budaya yang menghimpunkan persembahan, pameran dan perkongsian ilmu termasuk pengisian khas bertajuk Kearifan Tempatan di Alam Kecil Rumah Kelantan Tiang 12.
FKRK 2026 turut menyaksikan pelancaran Rebana Ubi Inovasi, iaitu produk pasang siap yang lebih ringan, praktikal dan mampu milik hasil penyelidikan sejak 2022 bagi memperkasakan warisan rebana ubi agar kekal relevan serta mudah diwarisi generasi muda.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata FKRK 2026 dengan slogan Pakat Maghi Belako, Tengok Mene Kito bukan sahaja memelihara warisan seni budaya malah menjadi platform memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat Malaysia MADANI serta menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Festival anjuran MOTAC melalui JKKN itu diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Nasrom Travel Sdn Bhd selain disokong oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh serta Majlis Daerah Pasir Puteh, Kelantan.
Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor serta Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris.
-- BERNAMA
Berita terkini
- IHW 2026: Jana Peluang Pasaran, Promosi Malaysia
- Malaysia Sasar xEV Kuasai 20 Peratus Jualan Kenderaan Baharu Menjelang 2030 - MITI
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah