SPRM, MCMC Perkukuh Kerjasama Strategik, Tingkat Keupayaan Pengurusan Komunikasi Krisis
PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh kerjasama strategik menerusi sesi libat urus bagi meningkatkan keupayaan pengurusan komunikasi krisis serta menangani penyebaran kandungan berunsur negatif di platform digital.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff berkata kerjasama erat antara agensi berkaitan penting bagi memastikan pengurusan sesuatu krisis dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, pantas dan berkesan.
Beliau mencadangkan MCMC menyelaras kerjasama antara agensi berkaitan bagi memperkukuh mekanisme pengurusan krisis selain mempercepat penyampaian maklumat dan tindakan terhadap isu yang timbul.
Hisyam berkata SPRM kini sedang mengusahakan pengiktirafan Pensijilan ISO bagi pengurusan krisis seperti digariskan dalam Pelan Strategik SPRM 2026-2030.
"ISO ini nanti boleh diguna pakai semua agensi sebagai satu garis panduan dalam pengurusan krisis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi dan Hubungan Industri MCMC Shirley Tan Shuo Ling berkata analisis sentimen dijalankan pihaknya berpandukan dua sumber utama iaitu liputan media dan pandangan pemimpin pendapat utama (KOL) bagi membantu agensi mengenal pasti isu yang berpotensi mencetuskan krisis.
"Analisis berkenaan membolehkan sesuatu isu dipantau secara lebih sistematik sekali gus membolehkan tindakan komunikasi diambil dengan lebih pantas bagi menangani persepsi negatif masyarakat sebelum ia berkembang menjadi krisis lebih besar," katanya.
Ketua Bahagian Pengurusan Platform Kandungan MCMC Mai Zairani Zainal Abidin pula berkata MCMC boleh mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk kandungan palsu, sumbang, jelik, lucah dan mengancam.
"MCMC bersedia bekerjasama dan membantu SPRM dalam menangani isu berkaitan kandungan dalam talian, manakala orang ramai boleh mengemukakan aduan melalui portal MCMC dengan menyertakan laporan polis atau pernyataan sebagai dokumen sokongan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kandungan yang dilaporkan," katanya.
Menurutnya, MCMC turut mempunyai kuasa mengarahkan portal media menurunkan kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang serta memberikan keutamaan kepada kes melibatkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Lebih 120 Bekas Ahli Bersatu Beralih Sokong PH
- SSDU, EER Digital Teroka Projek Rintis Pusat Data Mampan Di Selangor
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Selepas Harga Minyak Mentah Mengukuh
- Grid Dikuasakan AI Akan Pacu Peralihan Tenaga Malaysia - Pakar Industri
- Festival Kesenian Rakyat Kelantan Perkukuh Perpaduan, Semarak Seni Budaya