DKU Dibenar Mulakan Prosiding Komital Terhadap Mubarak, Lima Lagi
SEREMBAN, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap enam individu yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun lepas.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon telah berjaya membuktikan kes prima facie bagi memulakan prosiding komital, iaitu mekanisme perundangan untuk menghukum perbuatan menghina mahkamah.
Enam individu terbabit ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Perintah injunksi ad interim itu dikeluarkan dalam kes saman yang difailkan berhubung pelantikan Yang Dipertuan Besar.
Roz Mawar turut menolak permohonan keenam-enam individu untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai ini sebagai pendengaran bagi prosiding komital.
Peguam Steven Thiru mewakili Raja Norazli dan DKU manakala keenam-enam individu diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.
Antara lain, kandungan minit mesyuarat itu adalah berkaitan keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi an interim dalam saman pemula bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung isu bidang kuasa serta pertikaian yang boleh diadili, dan sehingga perintah mahkamah selanjutnya.
Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa meskipun perintah injunksi ad interim telah dikeluarkan, laporan media pada hari sama menyatakan bahawa plaintif, terutama Maarof, telah terlibat dalam pelantikan Yang Dipertuan Besar di bawah Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.
Beliau mendakwa pelantikan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.
Dakwaan pelanggaran ini menyebabkan Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan komital prosiding terhadap keenam-enam individu kerana menghina mahkamah.
-- BERNAMA
Berita terkini
- PRN Johor: Lebih 120 Bekas Ahli Bersatu Beralih Sokong PH
- SSDU, EER Digital Teroka Projek Rintis Pusat Data Mampan Di Selangor
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Selepas Harga Minyak Mentah Mengukuh
- Grid Dikuasakan AI Akan Pacu Peralihan Tenaga Malaysia - Pakar Industri
- Festival Kesenian Rakyat Kelantan Perkukuh Perpaduan, Semarak Seni Budaya