Masyarakat India Temui "Nambikei" Baharu Di Bawah Kerajaan MADANI - Ahli MPP PKR
JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuka satu lembaran "Nambikei" atau keyakinan baharu untuk semua kaum termasuk komuniti India di negara ini agar seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Dr Gunaraj George berkata susulan perkembangan positif itu, masyarakat India di Johor perlu terus mara dengan membuat pilihan berasaskan prestasi serta rekod pencapaian Pakatan Harapan (PH) diterajui Perdana Menteri seiring dengan pembangunan negara.
Beliau turut menyarankan komuniti India di Johor agar tidak "terperangkap dan terpedaya" dengan politik lama yang hanya menabur janji dan memainkan sentimen retorik.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup konsisten dalam perjuangannya untuk memecahkan tembok perkauman yang sekian lama mencorakkan landskap politik negara.
“Sejak awal penglibatan beliau dalam politik, beliau membawa gagasan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan, keadilan dan peluang yang saksama untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gunaraj berkata Perdana Menteri percaya politik berasaskan kaum semata-mata tidak lagi memadai untuk memenuhi aspirasi Malaysia yang semakin matang dan kompleks, sebaliknya negara memerlukan politik yang berteraskan dasar, prestasi dan penyelesaian kepada masalah rakyat.
“Atas prinsip itu jugalah, Anwar terus mengangkat agenda Malaysia MADANI sebagai landasan membina sebuah negara yang lebih inklusif, progresif dan bersatu,” katanya.
“Di bawah kepimpinan Anwar, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk menangani kos sara hidup, memperkukuh pendidikan, memperluas peluang pekerjaan, memperkasa usahawan serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Gunaraj berkata dalam tempoh tiga tahun ini, Perdana Menteri telah mereformasikan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, disamping peruntukan sedia ada berjumlah RM100 juta untuk agensi berkenaan.
“Selain, itu, dana usahawan Tekun Nasional untuk pemerkasaan usahawan India telah dinaikkan sehingga RM100 juta, (manakala) untuk pemerkasaan usahawan wanita pula RM100 juta diperuntukkan untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Malah pada Januari, Perdana Menteri telah umumkan RM50 juta untuk pembangunan sekolah Tamil. Ini semua pendekatan dan pengumuman bersejarah yang telah diambil oleh Kerajaan Madani. Ramai usahawan India yang telah menerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata masyarakat India turut menerima manfaat melalui pelbagai program pembangunan sosioekonomi, bantuan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang keusahawanan yang memberi impak kepada kesejahteraan komuniti.
Sehubungan itu, Gunaraj berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peluang terbaik untuk rakyat menentukan hala tuju negeri dengan memilih sebuah kerajaan yang mempunyai rekod jelas dalam membawa pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat seiring dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, masyarakat India merupakan komuniti yang semakin matang dalam membuat keputusan politik dan kini lebih cenderung menilai sesebuah parti berdasarkan pencapaian serta dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
“Masyarakat India perlu mara ke hadapan bersama PH. Sudah tiba masanya kita membuat pilihan berdasarkan apa yang telah dilaksanakan, bukan berdasarkan persepsi atau janji yang tidak ditunaikan. Masayarakat India boleh menilai sendiri,” katanya.
Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Pemimpin Tentera Malaysia Lawat Kawasan Sempadan Kemboja
- DKU Dibenar Mulakan Prosiding Komital Terhadap Mubarak, Lima Lagi
- Mahkamah Rayuan Bebaskan Penghantar Makanan Daripada Tuduhan Edar Kanabis
- Saintis Wanita Perlu Diperkasa Tangani Cabaran Iklim, Keterjaminan Makanan
- SPRM, MCMC Perkukuh Kerjasama Strategik, Tingkat Keupayaan Pengurusan Komunikasi Krisis