Empat Dekad Pasang Bendera, "Wira Tak Didendang" Azlan Ayob Kini Pilih Paip PVC
Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 8 Julai (Bernama) -- Di sebalik kemeriahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang kini rancak beralih ke ruang digital dan media sosial, kibaran bendera parti di sepanjang jalan tetap menjadi simbolik “perang saraf” yang tidak luput ditelan zaman.
Namun, bagi "wira tak didendang" seperti Azlan Ayob, 58, evolusi pilihan raya di Malaysia bukan sekadar dilihat pada cara pemimpin merayu undi tetapi pada setiap batang tiang bendera yang dipacaknya sejak empat dekad lepas.
Mula memerah keringat memasang bendera, kain rentang dan gegantung sejak berumur 18 tahun pada 1986, Azlan adalah antara individu paling sibuk setiap kali gendang pilihan raya dipalu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani di sini.
“Sedar tak sedar, PRN Johor tahun ini genap 40 tahun saya memasang bendera... sepanjang tempoh itu jugalah, ‘tiang’ bendera parti mengalami perubahan daripada buluh, batang penyapu dan kini batang paip Polivinil Klorida atau PVC,” katanya kepada Bernama hari ini.
Juruelektrik sambilan itu berkata idea menggunakan paip PVC bermula pada PRN ke-15 selepas dia berdepan kesukaran mendapatkan bekalan buluh pada harga berpatutan.
Azlan berkata harga sebatang buluh kini boleh mencecah RM4 malah kos logistik untuk mendapatkannya dari Pahang melalui masyarakat Orang Asli juga dianggap tidak lagi berbaloi.
Berkongsi lebih lanjut, Azlan berkata dia lazimnya memilih paip berdiameter 2.54 sentimeter dengan kepanjangan sekitar dua meter kerana kos yang lebih murah iaitu RM2 sebatang selain tidak bersifat "miang" seperti buluh yang sering menyebabkan kegatalan kulit semasa pemasangan bendera.
"Paip PVC berharga sekitar RM2 sebatang berbanding buluh (RM4) dan batang penyapu (RM3),” katanya.
Selain itu, penggunaan buluh serta batang penyapu juga tidak bertahan lama kerana material tersebut mudah rosak apabila sering terdedah kepada hujan dan panas sehingga terpaksa dibuang.
“Berbeza dengan paip PVC, untuk PRN kali ini saya guna semula kira-kira 1,000 batang paip yang pernah digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas... ini merupakan pilihan raya ketiga saya menggunakannya dan tidak mustahil akan menggunakannya kembali pada PRU16," katanya.
Bagi PRN kali ini, Azlan telah memasang kira-kira 2,500 batang paip PVC di seluruh kawasan DUN Parit Yaani selain memenuhi sebahagian permintaan di Parit Raja.
Menyentuh mengenai teknikal pemasangan, dia berkata pemilihan gred paip PVC tidak boleh dibuat secara semberono kerana ketebalan yang salah akan menyebabkan tiang melentur atau melengkung apabila ditiup angin kencang.
Azlan juga berkata memandangkan paip PVC mempunyai nilai pasaran, maka ia menuntut pemantauan kerap oleh jentera pilihan raya selain perlu segera dicabut selepas tempoh berkempen tamat bagi memastikan aset itu tidak “ghaib”.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sejumlah 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih layak pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Piala Dunia Taolu: Cheong Min Ungguli Nangun, Pui Yee Raih Perak Qiangshu
- Mesir Mahu Pasukan Pengadil Digantung Sepanjang Baki Piala Dunia
- PRN Johor: Kempen Digital Kian Rancak Tiga Hari Sebelum Pengundian
- Niaga Hadapan KLCI Ditutup Rendah
- Kerajaan Henti Serta-merta Perolehan Peralatan Pertahanan Baharu Dari Norway - Fahmi