08/07/2026 07:14 PM

Piala Dunia Taolu: Cheong Min Ungguli Nangun, Pui Yee Raih Perak Qiangshu

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Ratu wushu negara Tan Cheong Min terus membuktikan kehebatannya selepas merangkul pingat emas acara Nangun pada Piala Dunia Taolu edisi keempat di Haikou, China.

Majlis Sukan Negara hari ini memaklumkan dalam saingan dramatik itu, Cheong Min mempamerkan aksi kemas untuk mengumpul 9.746 mata, sekali gus mengetepikan pencabar terdekat dari Uzbekistan, Darya Latisheva yang mencatatkan 9.736 mata untuk pingat perak. 

Wakil Singapura Kassandra Ong pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas meraih 9.723 mata.

Kecemerlangan kem wushu Malaysia diteruskan menerusi Pang Pui Yee yang berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara Qiangshu wanita.

Pui Yee mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan kutipan 9.726 mata, ketinggalan di belakang atlet Vietnam Duong Thuy Vi yang meraih emas (9.746 mata), manakala pingat gangsa dimenangi oleh Atlet Neutral Individu (AIN) Aksiniia Schukina dengan 9.723 mata.

Kejohanan berprestij yang bermula Sabtu lepas akan berakhir esok. 

-- BERNAMA