08/07/2026 02:35 PM

Dua Pelumba Berbasikal Negara Sertai Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Pelumba berbasikal berpengalaman negara Mohd Harrif Saleh dan pelumba wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir akan menyertai acara “Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026” yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos ini di Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata acara yang julung-julung kali diadakan itu menyasarkan sehingga 2,500 peserta. 

“Kami mahu memberikan sesuatu yang berbeza kepada komuniti peminat berbasikal. EKVE dipilih kerana laluan ini bukan sahaja mencabar dari segi teknikal dengan laluan mendaki dan menuruni bukit tetapi juga sangat cantik dengan suasana berkabut pada awal pagi.

“Ini adalah sebahagian daripada aspirasi ‘Untuk Semua’ Bank Rakyat, dengan kita mahu memperkukuh perpaduan masyarakat melalui gaya hidup sihat dalam suasana yang inklusif,” katanya pada sidang media pengumuman acara itu di sini hari ini.

Nizam berkata sambutan luar biasa diterima apabila lebih 1,400 peserta dari enam buah negara termasuk Brazil telah mengesahkan penyertaan setakat ini.

Terdapat dua kategori, iaitu Challenge Ride sejauh 60 kilometer (km) serta Community Ride sejauh 30 km bagi peserta yang ingin mengayuh secara santai.

Menariknya, Nizam berkata acara ini bersifat inklusif bagi semua jenis basikal termasuk basikal lipat, basikal bukit dan basikal elektrik.

“Kita mahu semua orang boleh sertai, daripada yang serius hinggalah yang hanya mahu beriadah. Bagaimanapun, basikal lajak atau basikal tanpa brek tidak dibenarkan demi keselamatan semua peserta di atas lebuh raya,” katanya. 

Sementara itu, Pengurus Kanan Operasi EKVE Mohd Affendi Hussien berkata penutupan jalan akan berlangsung bermula 4 pagi hingga 12 tengah hari pada hari acara berkenaan. 

Penutupan tersebut dilakukan bagi menjamin keselamatan para peserta dan memastikan laluan bebas daripada sebarang kenderaan awam sepanjang tempoh kayuhan berlangsung. 

Pendaftaran boleh dilakukan menerusi laman https://checkpointspot.asia atau www.bankrakyat.com.my dengan peserta bakal menerima barangan penyertaan eksklusif termasuk jersi rasmi acara dan pingat penamat.

Acara ini mendapat sokongan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan pihak pengurusan EKVE.

-- BERNAMA