Malaysia Perkukuh Hubungan Dagang Penjagaan Kesihatan Dengan Thailand Di WHX Bangkok 2026
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dengan Thailand melalui penyertaan dalam Ekspo Kesihatan Dunia (WHX) Bangkok 2026, menyasar untuk memperluas kerjasama dua hala dalam sektor penjagaan kesihatan dan sains hayat.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata penyertaan Malaysia mencerminkan hubungan dua hala yang erat dan terjalin sejak sekian lama, dengan penjagaan kesihatan muncul sebagai sektor pertumbuhan utama.
“Malaysia dan Thailand menjalinkan dan menikmati hubungan diplomatik dan ekonomi yang erat sejak sekian lama. Penyertaan kita di WHX Bangkok 2026 menandakan satu lagi langkah ke arah memperkukuh perdagangan dua hala dan memperluas kerjasama penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
WHX Bangkok 2026, yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit dari 8 hingga 10 Julai ini, dijangka menarik kira-kira 950 pempamer dan 26,000 pengunjung perdagangan global di samping menyediakan platform untuk rangkaian perniagaan, pelaburan dan kerjasama serantau.
Beliau berkata Kedutaan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Bangkok bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan Thailand, institusi penjagaan kesihatan dan rakan industri untuk memaksimumkan peluang komersial bagi syarikat Malaysia.
Wan Zaidi berkata MATRADE Bangkok juga akan terus memudah cara hubungan perniagaan antara pengeksport Malaysia dengan pengimport, pengedar, penyedia penjagaan kesihatan dan pelabur Thailand melangkaui pameran itu.
Pavilion Malaysia, yang diketuai MATRADE, menampilkan lapan syarikat yang mengetengahkan farmaseutikal, peranti perubatan, diagnostik makmal, penjagaan pernafasan, barang guna habis untuk perubatan dan produk kesejahteraan.
Bersempena dengan pameran itu, MATRADE akan menganjurkan Forum Hari Penjagaan Kesihatan Malaysia, yang menghimpunkan agensi kerajaan, profesional penjagaan kesihatan dan peserta industri dari kedua-dua negara untuk bertukar kepakaran, mengukuhkan rangkaian perniagaan dan meneroka peluang kerjasama.
Forum itu juga berperanan sebagai pengenalan bagi Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2027, yang akan dianjurkan Malaysia di Kuala Lumpur.
Malaysia mengeksport peranti perubatan bernilai US$8.06 bilion pada 2025, termasuk sarung tangan perubatan bernilai US$2.35 bilion serta jarum dan kateter bernilai US$1.27 bilion.
Nilai eksport farmaseutikal berjumlah US$857.4 juta menunjukkan peranan Malaysia yang semakin meningkat sebagai pembekal produk penjagaan kesihatan yang dipercayai (US$1=RM4.074).
-- BERNAMA
Berita terkini
- Polis Kesan Suspek Kes Gaduh Di Kafe Bandar Sunway
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah
- Harga Runcit Petrol, Diesel Tanpa Subsidi Kekal Bagi Tempoh 9 Hingga 15 Julai
- Kerajaan Teliti Cadangan Rakaman CCTV Insiden Penjara Taiping Disiar Di Dewan Rakyat
- Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS