08/07/2026 07:55 PM

Polis Kesan Suspek Kes Gaduh Di Kafe Bandar Sunway

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan dan merusuh yang mengakibatkan tiga lelaki cedera di sebuah kafe di Bandar Sunway dekat sini awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 6.16 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki yang berada di lokasi itu sebelum tercetusnya pergaduhan. 

“Akibat kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Azlan berkata polis menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian, merakam percakapan saksi kejadian serta memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan insiden itu. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA