Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama namun, rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, apabila ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat meningkatkan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0750/0800 berbanding dolar AS daripada 4.0685/0735 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama harga minyak mentah meningkat ketara susulan serangan tentera AS terhadap pasukan Iran pada Rabu.
Beliau berkata keputusan kerajaan AS membatalkan pengecualian bagi penjualan minyak Iran menunjukkan perjanjian gencatan senjata itu lemah.
Sebelum ini, AS melonggarkan sekatan minyak terhadap Iran melalui pengecualian sementara seperti diumumkan selepas pusingan pertama rundingan antara kedua-dua negara di Switzerland pada Jun, yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad bagi menamatkan konflik.
Beliau berkata oleh yang demikian, tindakan AS itu menimbulkan kebimbangan mengenai ketegangan baharu yang boleh meningkatkan risiko penutupan Selat Hormuz iaitu laluan penghantaran minyak global yang penting.
Ketika laporan ini dibuat, minyak mentah Brent bagi kontrak untuk serahan September diniagakan 5.68 peratus lebih tinggi kepada US$78.28 setong.
“Pasaran juga mungkin meneliti minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC), yang akan dikeluarkan pada 9 Julai,” katanya.
Pada peringkat tempatan, Mohd Afzanizam berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan bermesyuarat antaranya untuk memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan kadar penanda aras itu kekal pada 2.75 peratus.
MPC BNM akan mengadakan mesyuarat keempat bagi tahun ini esok.
Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5083/5114 daripada 2.5124/5156 ketika ditutup pada Selasa dan naik berbanding pound British kepada 5.4369/4435 daripada 5.4432/4499.
Mata wang tempatan juga tinggi berbanding euro kepada 4.6471/6528 daripada 4.6483/6540 semalam.
Bagaimanapun, ringgit hampir mendatar berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.
Unit tempatan hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.1487/1528 daripada 3.1488/1529 ketika ditutup pada Selasa, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1685/1882 daripada 12.2129/2331.
Ringgit juga hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 226.2/226.5 daripada 226.2/226.6 serta berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.64 daripada 6.62/6.63.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK
- Pengecas Awam EV Cecah 6,416 Unit Setakat Mei 2026 - MITI
- PRN Johor: Anwar Terus Rancakkan Kempen Pakatan Harapan
- KPDN Serbu Kilang Sabun Pencuci Disyaki Guna Logo Halal Tidak Sah
- Pemimpin Perlu Terus Belajar Tanpa Abai Nilai, Akhlak - PM Anwar