08/07/2026 04:56 PM

Mahkamah Batal Saman Tiga Bekas Wakil Rakyat Berhubung Keputusan Speaker DUN Perlis

KANGAR, 8 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman pemula yang difailkan oleh tiga bekas wakil rakyat terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi mereka. 

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Rus’sele atas alasan Mohd Ridzuan Hashim (bekas Ahli DUN Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) mempersoalkan perkara yang secara amnya tidak boleh diadili oleh mahkamah.

"Keputusan defendan sebagai Speaker adalah berkaitan dengan urusan penting dan dalam parameter Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, dan secara amnya tidak boleh diadili walaupun dibuat di luar prosiding Dewan selagi ia dalam lingkungan kuasa yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata dalam melaksanakan bidang kuasa di bawah Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, mahkamah berpandangan Speaker mempunyai kewajipan untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka dan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya. 

Mohamad Abazafree berkata tindakan Speaker tidak boleh dipertikai di mahkamah selagi ia dilaksanakan dalam lingkungan kuasa Perlembagaan yang diberikan dan berkaitan dengan urusan dalaman DUN.

"Secara amnya, jika sesuatu perkara itu tidak boleh diadili oleh mahkamah, ia perlu dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 kerana dianggap tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak membuat apa-apa perintah berkaitan kos.

Rus’sele diwakili peguam Dr Yusfarizal Yussoff, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Faizi Che Abu manakala peguam Mohd Jamil Yaacob mewakili ketiga-tiga bekas ADUN.

Pada 25 Dis tahun lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyat PAS itu terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Beliau membuat keputusan itu susulan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 24 Dis 2025 yang memaklumkan keahlian ketiga-tiga ADUN terbabit terhenti berdasarkan Perlembagaan PAS.

Pada 2 Jan lepas, ketiga-tiga bekas wakil rakyat memfailkan saman pemula terhadap Rus’sele sebelum Speaker DUN Perlis itu memohon untuk membatalkannya pada Februari lepas.

-- BERNAMA