PH Berpotensi Pecah Dominasi BN Di Tiram, Peratusan Keluar Mengundi Jadi Penentu
Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Saat nama seorang wanita diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, ramai yang menganggap keputusan itu sebagai percaturan berisiko tinggi.
Pelbagai label dan tohmahan dilemparkan terhadap Nor Zulaila Abd Ghani, 38, apatah lagi apabila ia merupakan kali pertama DAP bertanding di kerusi majoriti Melayu itu yang sinonim dengan penguasaan Barisan Nasional (BN), namun pernah dimenangi PH menerusi PKR pada 2018.
Langkah berani berkenaan disifatkan ramai pihak sebagai tindakan ‘bunuh diri’, dengan hampir 60 peratus daripada 117,000 pengundi berdaftar di kawasan itu merupakan kaum Melayu, malah sejak 1959, kerusi ini hampir sepenuhnya dikuasai BN.
"Kalau semua orang nak kerusi selamat, siapa yang nak pergi ke kawasan sebegini? Jadi, saya sahut cabaran, kita tawarkan perkhidmatan untuk DUN Tiram,” katanya yang juga Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dalam temu bual dengan Bernama.
Anak jati Lenga, Muar itu bagaimanapun mengakui cabaran terbesar beliau sebenarnya bukan sekadar memecahkan persepsi terhadap DAP, namun sebaliknya meyakinkan pengundi bahawa PH mampu membawa penyelesaian kepada penduduk Tiram.
Ketika ini, pengundi di kawasan itu masih bergelut dengan isu setempat termasuk kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, keperluan menaik taraf jalan kampung, lampu jalan, kemudahan asas serta peluang ekonomi untuk penduduk tempatan.
“Kita faham isu kesesakan merupakan masalah utama, namun sekiranya dipilih, 100 hari pertama saya akan tumpukan kepada isu kecil terlebih dahulu seperti permit penjaja, baru tumpu pada isu besar ini yang perlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Di pihak BN, pencalonan Datuk Abdul Halim Suleiman yang juga Ahli Dewan Negara pula dilihat sebagai usaha mengekalkan pengaruh parti itu di Tiram menerusi tokoh yang mempunyai pengalaman politik lama di Tebrau.
Sebagai bekas ADUN Puteri Wangsa selama dua penggal dan kini Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Abdul Halim berkata DUN Tiram merupakan kawasan besar dan bercampur, merangkumi komuniti bandar, separa bandar, kampung, nelayan, Felda dan Orang Asli yang perlukan pendekatan pentadbiran yang seimbang.
Katanya, beliau mahu melihat satu pelan induk pembangunan Tiram yang lebih tersusun dengan membabitkan pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemaju, wakil rakyat dan masyarakat setempat sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
“Saya tidak boleh bawa perkara ini seorang diri, tetapi mesti ada perbincangan dengan pihak berkuasa dan pelbagai pihak. Sebelum sesuatu kelulusan dibuat, saya mahu ia dibincangkan di peringkat ADUN supaya pembangunan dapat diselaraskan dan pandangan masyarakat turut diambil kira,” katanya.
Mengenai isu kesesakan lalu lintas yang sering dibangkitkan penduduk, Abdul Halim berkata penyelesaiannya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya apabila melibatkan jalan Persekutuan serta projek infrastruktur berskala besar.
Sementara itu calon BERSAMA Dr Harith Fakhrudin Abdul Malek turut memiliki pendapat sama dengan menyatakan bahawa kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya yang disifatkannya sebagai dua masalah paling mendesak dihadapi penduduk Tiram.
Harith Fakhrudin berkata kedua-dua isu berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan lebih 10 tahun dan kini semakin membebankan penduduk akibat pertambahan kenderaan, keadaan jalan yang tidak memuaskan serta pergerakan kenderaan berat di beberapa kawasan.
Bagi seorang penduduk Kampung Sungai Tiram yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 34, Tiram bukan kawasan yang tidak membangun, sebaliknya pembangunan yang berlaku dilihat tidak cukup menyeluruh dan gagal bergerak seiring dengan pertambahan penduduk serta kenderaan.
“Tiram ini membangun, tetapi perlahan. Pembangunan ada, cuma pelan pembangunan terlalu lama dan tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang,” katanya.
Beliau berkata kesesakan di Tiram turut memberi kesan kepada kawasan berhampiran termasuk Puteri Wangsa, apabila pengguna jalan raya mencari laluan alternatif bagi mengelak kesesakan di Jalan Tebrau dan jalan utama lain.
“Lebih merisaukan, ada laluan kampung dan kawasan perumahan yang turut digunakan kenderaan berat. Kenderaan berat ini ada yang bawa muatan berlebihan, kotor dan melalui kawasan penduduk. Ini sangat membahayakan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Dr Mazlan Ali melihat Tiram sebagai antara kerusi kritikal yang menyaksikan persaingan sengit antara PH dan BN, selepas kerusi itu pernah dimenangi PH menerusi PKR pada 2018 sebelum dirampas BN pada PRN Johor 2022.
Katanya, kemenangan BN pada 2022 perlu dibaca dalam konteks kadar keluar mengundi yang rendah, iaitu sekitar 50 peratus dan tidak sampai 60 peratus dan tidak boleh dibaca sebagai gambaran mutlak kekuatan BN di Tiram.
Beliau berkata terdapat trend menarik pada PRN kali ini apabila dijangka berlaku kecenderungan pengundi Cina untuk keluar mengundi secara lebih menyeluruh berbanding pilihan raya negeri sebelum ini.
Mazlan berkata perkembangan itu didorong beberapa isu politik semasa yang dilihat tidak disenangi sebahagian pengundi bukan Melayu dan kelompok kelas pertengahan, termasuk kerjasama PAS dengan BN di beberapa kawasan serta isu berkaitan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata sekiranya kadar keluar mengundi di Tiram meningkat melebihi 75 peratus, PH dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk merampas semula kerusi itu daripada BN.
Katanya, walaupun BN menang besar pada beberapa pilihan raya, antaranya majoriti 74.6 peratus pada 1995, 73.0 peratus pada 2004 dan 31.7 peratus pada 2008, namun pada 2018, PH menang dengan majoriti 16.1 peratus, sebelum BN kembali menang pada 2022 dengan majoriti 9.4 peratus, sekali gus menguatkan pandangan bahawa tidak mustahil PH boleh membuat kejutan di kerusi ini.
-- BERNAMA
| N40: TIRAM: JOHOR: 117,496 | ||||||||
|
||||||||
| (2022: Azizul Bachok: BN-UMNO: Maj: 5,281) | ||||||||
Berita terkini
- Pulau Pinang Sasar Pasaran India Menerusi Misi Jualan Di Tujuh Bandar
- Program Halal Home Grown Champion Jana Potensi Jualan RM187.91 Juta Pada 2024 - 2026
- Projek Tapak Perkuburan Islam Hulu Semenyih Dirancang Sejak 2005 - Hannah
- Penamatan Kehamilan: Undang-undang Malaysia Peruntuk Pengecualian Jelas Di Bawah Seksyen 312KK
- Pengecas Awam EV Cecah 6,416 Unit Setakat Mei 2026 - MITI