Dua Lelaki Didenda Miliki Kad Pengenalan Individu Lain
KUANTAN, 8 Julai (Bernama) -- Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad milik individu lain.
Majistret Tengku Aliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, dan Shaleh Sintam, 45, masing-masing dipenjara tujuh bulan dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muhammad Al-Mujib dan Shaleh didakwa memiliki kad pengenalan milik individu lain sebagai dokumen pengenalan diri ketika operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Pantai Balok di sini, antara 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi, 3 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Fakrol Anuar Sani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Pada prosiding itu, Fakrol Anuar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dan setimpal sebagai pengajaran agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya memiliki kad pengenalan milik individu lain.
Bagaimanapun, peguam kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda diringankan kerana Muhammad Al-Mujib tidak bekerja dan ditanggung oleh ibunya yang bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, manakala Shaleh seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PH Berpotensi Pecah Dominasi BN Di Tiram, Peratusan Keluar Mengundi Jadi Penentu
- Mahkamah Batal Saman Tiga Bekas Wakil Rakyat Berhubung Keputusan Speaker DUN Perlis
- Pembaziran Makanan Isi Rumah Dikaitkan Dengan Perubahan Gaya Hidup, Peningkatan Pendapatan
- Enam Tekong Darat Termasuk Warga Thailand Didakwa Seludup Migran Di Machang
- Malaysia Perkukuh Hubungan Dagang Penjagaan Kesihatan Dengan Thailand Di WHX Bangkok 2026