08/07/2026 02:26 PM

Portfolio Sukuk IILM Catat Paras Tertinggi US$7.2 Bilion

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Jumlah aset sukuk jangka pendek dalam edaran Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) meningkat kepada paras tertinggi sebanyak US$7.2 bilion selepas terbitan dan terbitan semula sukuk bernilai US$1.28 bilion (US$1=RM4.07).

Menurut IILM, penerbit instrumen pengurusan mudah tunai jangka pendek patuh syariah terkemuka di dunia itu, terbitan tersebut dibuat dalam empat tempoh berbeza, iaitu satu, tiga, enam dan 12 bulan.

Lelongan itu mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai kumpulan pelabur antarabangsa, menjana jumlah keseluruhan pesanan sebanyak US$2.763 bilion, mencatatkan kadar lebihan langganan 2.16 kali.

Empat siri sukuk itu pada kadar 3.86 peratus bagi US$378 juta (sebulan), 4.05 peratus bagi US$547 juta (tiga bulan), 4.10 peratus bagi US$317 juta (enam bulan) dan 4.05 peratus bagi US$40 juta (12 bulan), menurutnya dalam kenyataan.

“Transaksi hari ini merupakan lelongan sukuk IILM yang ke-13 pada 2026, menjadikan jumlah terbitan terkumpul untuk tahun ini kepada US$15.877 bilion dalam 62 siri sukuk jangka pendek dengan pelbagai tempoh matang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Safri Shahul Hamid berkata portfolio sukuk dalam edaran IILM setakat tahun ini meningkat sebanyak 12.5 peratus walaupun terdapat persekitaran pasaran paling tidak menentu dalam beberapa tahun ini.

“Pencapaian ini disokong oleh permintaan berterusan daripada pelbagai pelabur global, memperkukuh keyakinan yang diberikan terhadap instrumen kecairan Islam jangka pendek IILM yang berkualiti tinggi dan peranan mereka yang semakin penting dalam menyokong keperluan pengurusan kecairan rentas sempadan institusi kewangan Islam,” katanya.

Semua terbitan dijalankan di bawah program terbitan sukuk jangka pendek bernilai US$8.5 bilion, diberi penarafan “A-1” oleh S&P Global Ratings dan “F1” oleh Fitch Ratings.

-- BERNAMA