08/07/2026 04:56 PM

PRN Johor: "Saya Bertanding Untuk Menang", Faizul Yakin PH Mampu Tawan Tanjung Surat

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Menolak tanggapan bahawa Pakatan Harapan (PH) sekadar melengkapkan saingan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, calon gabungan itu Faizul Abdul Ghani menegaskan bahawa beliau turun bertanding dengan matlamat untuk menawan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Faizul, 56, berkata landskap politik di kawasan itu semakin berubah apabila sokongan akar umbi dilihat semakin memihak kepada PH, membuatkan beliau optimis gabungan itu mampu mencipta kejutan dengan menewaskan penyandang Aznan Tamin mewakili BN dalam pertandingan satu lawan satu.

“Bagi saya, tidak timbul soal kawasan ini sukar atau mudah untuk dimenangi. Prinsip kami tetap sama, ‘lawan tetap lawan’. Alhamdulillah, maklum balas dan penerimaan pengundi di DUN Tanjung Surat sangat baik.

“Saya berharap akan berlaku satu perubahan besar pada hari pengundian nanti. Saya bertanding untuk menang dan saya yakin serta optimis boleh menang, insya-Allah,” katanya kepada Bernama.

Menurut Faizul, keyakinan itu diperkukuh hasil pendekatan rentas parti yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkempen apabila beliau menerima sambutan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Mengulas kejadian sabotaj bahan kempen yang berlaku pada minggu pertama kempen PRN Johor, beliau berkata perkara itu tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya dan jentera PH kerana mereka sudah lama berdepan dengan pelbagai bentuk provokasi politik.

“Saya sudah hampir 27 tahun dalam PKR. Dahulu, keadaannya lebih teruk apabila bahan kempen dibakar, dibuang dan ditumbangkan. Jadi, kami anggap perkara ini sebagai cabaran biasa.

“Saya hanya berpesan kepada jentera supaya terus bersabar, tidak melayan provokasi dan memberikan tumpuan kepada usaha mendekati rakyat,” katanya.

Faizul berkata jentera PH kini memberikan tumpuan untuk memperkukuh sokongan di seluruh DUN Tanjung Surat selepas hampir semua lokaliti berjaya dilawati, malah ada kawasan yang telah dikunjungi lebih sekali.

Berhubung tawaran manifesto, beliau berkata keutamaannya ialah menyelesaikan isu yang membelenggu komuniti nelayan, antaranya di Sungai Rengit yang berdepan dengan masalah berkaitan kelulusan lesen menangkap ikan serta menaik taraf kemudahan seperti pemecah ombak dan jeti yang uzur.

Selain itu, beliau turut berhasrat membangunkan Tanjung Surat sebagai destinasi pelancongan bagi membantu meningkatkan pendapatan pengusaha inap desa dan peniaga tempatan seperti di Sungai Rengit, Batu Layar serta Tanjung Belungkor yang mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan.

PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding untuk merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N38: TANJUNG SURAT - 26,943 pengundi

1. Faizul Abdul Ghani (PH-PKR)

2. Aznan Tamin (BN-UMNO) 

(2022: Aznan Tamin, BN-UMNO, majoriti 5,903)