08/07/2026 02:34 PM

PRN Johor: Calon Veteran PH Kuasai Teknologi Digital Dekati Pengundi Semarang

BATU PAHAT, 8 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang Ramli Abd Hamid mengakui ahli politik tanpa mengira usia perlu menguasai teknologi digital untuk terus relevan dan mendekati pengundi, khususnya generasi muda.

Ramli, 64, berkata perkembangan teknologi telah mengubah landskap politik apabila media sosial kini menjadi antara medium utama pengundi mendapatkan maklumat, menyebabkan pendekatan berkempen perlu disesuaikan dengan perubahan tanpa mengabaikan sentuhan kempen tradisional.

Walaupun usianya telah menginjak 60-an, tetapi Ramli berkata sebagai individu dalam bidang politik, “mengejar” teknologi perlu dilakukan termasuk semasa berkempen bagi memenangi hati golongan muda.

“Kita menggabungkan kempen secara tradisi dengan mengedarkan risalah, perbualan santai, bertegur sapa dan bertemu masyarakat di kawasan tumpuan serta mengunjungi golongan rentan dan mereka yang memerlukan di rumah masing-masing.

“Tetapi, kita juga tidak ketinggalan merekodkan aktiviti kempen secara digital menerusi media sosial dengan tujuan untuk mereka yang berada di luar kawasan, terutamanya anak muda dapat melihat prestasi kerja kita semasa berkempen,” katanya kepada Bernama.

Ramli berkata platform seperti Instagram, TikTok dan WhatsApp bukan sahaja digunakan untuk berkongsi aktviti kempen, malah menjadi medium menjelaskan manifesto serta memberi penerangan kepentingan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Mengenai fokus utama kempen, Timbalan Pengerusi Gerak Tani Johor itu berkata berhasrat untuk memperkasakan sektor pertanian di Semarang menerusi penerapan teknologi serta penggunaan kaedah moden dalam kalangan petani dan pekebun, jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata kebanyakan golongan itu masih bergantung kepada kaedah tradisional sedangkan penggunaan teknologi dan mesin moden mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.

Ramli yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi Gerakan Selamatkan Malaysia turut merancang menubuhkan Pusat Pembangunan Ekonomi Semarang (PPES) sebagai pusat sehenti menghimpunkan Pusat Keusahawanan dan Perniagaan, Pusat Pertanian dan Agromakanan, Pusat Pekerjaan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“PPES ini turut berperanan sebagai Pusat Pelancongan dan Agropelancongan, Pusat Koperasi dan Ekonomi Setempat serta Pusat Pelaburan dan Data Ekonomi. Ia disesuaikan dengan slogan ‘Dari Semarang Untuk Rakyat Semarang’,” katanya.

Beliau juga bertekad untuk membawa pendekatan pembangunan yang menggabungkan nilai tradisi dan kemajuan teknologi agar manfaatnya dirasai seluruh masyarakat di Semarang.

DUN Semarang menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Ramli, calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Syafiq Abdul Aziz dan penyandang Datuk Samsolbari Jamali daripada Barisan Nasional (BN).

PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N20: Semarang - 28,753 pengundi

1. Ramli Abd Hamid (PH-Amanah)

2. Muhammad Syafiq Abdul Aziz (PN-Bersatu)

3. Datuk Samsolbari Jamali (BN-UMNO)

(2022: Datuk Samsolbari Jamali: BN-UMNO: Maj: 5,846)