08/07/2026 01:25 PM

PRN Johor: Muhd Najib Tekad Jadikan Bandar Universiti Pagoh Enjin Ekonomi Baharu

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

PAGOH, 8 Julai (Bernama) -- Pembangunan Bandar Universiti Pagoh perlu diperkasakan dengan kemudahan perbandaran yang lebih mampan bagi menjadikannya sebagai “enjin” pertumbuhan sosioekonomi baharu, khususnya buat penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir.

Sehubungan dengan itu, calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Muhd Najib Lep, 63, bertekad memperkasakan hab pendidikan berkenaan kerana kemudahan itu penting bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat kampung serta pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Muhd Najib yang juga Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Pagoh berkata potensi besar Bandar Universiti yang kini menempatkan empat institusi pengajian tinggi termasuk cawangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan perbandaran tersebut seolah-olah "terpinggir" daripada arus pembangunan apabila masih kekurangan kemudahan asas yang penting seperti perkhidmatan perbankan dan klinik kesihatan.

"Bandar Universiti ini sangat penting untuk dibangunkan dan disegerakan kerana di situ akan menjana pendapatan rakyat tempatan, orang-orang kampung, IKS dan pengusaha kecil selain dapat meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya kepada Bernama. 

Selain pembangunan fizikal, Muhd Najib, yang pernah memenangi kerusi di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, berkata agenda pemilikan kediaman mampu milik yang kondusif menjadi antara teras perjuangannya bagi melahirkan generasi muda yang cemerlang.

Beliau percaya rumah yang kondusif mampu mengurangkan tekanan hidup keluarga, sekali gus memberikan keselesaan kepada anak-anak untuk belajar dengan baik.

Dalam pada itu, berbekalkan pengalaman hampir 13 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhd Najib yang juga Pengerusi Persatuan Veteran ATM (PVATM) Pagoh bertekad untuk terus memperjuangkan kebajikan golongan pesara tentera.

Antara fokus utamanya ialah merapatkan jurang kadar pencen membabitkan pesara sebelum dan selepas 2013 yang disifatkannya sangat ketara.

Menghampiri hari pengundian, beliau menyatakan keyakinan tinggi berdasarkan maklum balas positif dan sokongan padu yang diterima sepanjang menyantuni rakyat di lapangan. 

“Kebanyakan gerak kerja saya bersama-sama masyarakat telah bermula dari tamatnya (penggal) sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Alhamdulillah, sambutan dan sokongan yang diterima tidak berbelah bahagi," katanya.

Muhd Najib berdepan dengan persaingan tiga penjuru pada pilihan raya kali ini, menentang penyandang kerusi DUN Bukit Pasir Mohamad Fazli Mohamad Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin mewakili Perikatan Nasional (PN).

Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih layak pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor

-- BERNAMA

 

N08: BUKIT PASIR - 34,142 pengundi

 

1. Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (PN-Bersatu)

2. Muhd Najib Lep (PH-Amanah)

3. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN-UMNO)

(2022: Mohamad Fazli Mohamad Salleh, BN-UMNO, majoriti 198)