08/07/2026 11:14 AM

PRN Johor: Ahmad Daniel Tekad Perkasa Ekopelancongan Panti

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KOTA TINGGI, 8 Julai (Bernama) -- Memiliki keunikan alam semula jadi yang masih belum diteroka sepenuhnya, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Ahmad Daniel Shahruddin bertekad menjadikan kawasan itu sebagai antara pusat ekopelancongan utama di daerah Kota Tinggi sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ahmad Daniel, 54, berkata usaha memperkasa sektor ekopelancongan bukan sahaja mampu memelihara khazanah alam, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam kalangan peniaga kecil dan komuniti sekitar.

Menurut bekas Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) itu, DUN Panti memiliki pelbagai tarikan semula jadi bernilai tinggi, termasuk kawasan jeram di Kampung Temenin yang berpotensi dibangunkan sebagai lokasi rekreasi baharu.

"Jika Kota Tinggi terkenal dengan kawasan air terjun, Panti pula mempunyai jeram-jeram semula jadi yang indah tetapi memerlukan pelan naik taraf serta penjenamaan semula bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Insya-Allah, jika diberi peluang, kita akan menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan tanpa menjejaskan ekosistem asal, sekali gus menyediakan tapak rekreasi yang selamat dan menarik untuk komuniti serta pelancong," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembangunan ekopelancongan secara mampan juga mampu menangani isu kekurangan peluang pekerjaan berkualiti yang mendorong sebahagian golongan muda berhijrah keluar daerah, termasuk ke Singapura, bagi mencari peluang ekonomi.

Ahmad Daniel yang berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan awam berkata, apabila sektor pelancongan berkembang, ia akan mewujudkan kesan rantaian kepada sektor lain seperti inap desa, perniagaan makanan serta perkhidmatan pemandu pelancong.

"Apabila sektor pelancongan ini berkembang, rantaian ekonomi lain seperti inap desa (homestay), kedai makan dan perkhidmatan pemandu pelancong turut berkembang, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada anak muda tempatan," katanya.

Selain fokus terhadap ekopelancongan, Ahmad Daniel yang juga Pengarah Biro Syariah dan Dakwah Parti Amanah Johor berkata beliau turut menggariskan tiga teras utama dalam manifestonya, iaitu penyediaan rumah mampu milik, mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian serta menaik taraf prasarana awam yang usang.

Beliau menyifatkan perancangan itu sebagai realistik untuk dilaksanakan berdasarkan kedudukan politiknya yang seiring dengan pentadbiran Kerajaan Persekutuan ketika ini.

Mengenai gerak kerja kempen, Ketua Amanah Kawasan Tenggara itu berkata pasukannya kini berada pada tahap optimum dengan kira-kira 80 peratus kawasan dalam DUN Panti telah disantuni secara fizikal.

Beliau mengakui keluasan kawasan DUN Panti menjadi cabaran kepada pasukannya untuk meliputi keseluruhan kawasan itu dalam tempoh berbaki dua hari sebelum hari pengundian.

Bagaimanapun, Ahmad Daniel yakin mesej dan tawaran yang dibawa mampu disampaikan kepada keseluruhan pengundi menerusi strategi pecutan akhir yang turut memanfaatkan penggunaan media sosial.

"Untuk baki tempoh berkempen ini, kita akan mempertingkatkan lagi strategi digital menerusi media sosial bagi memastikan penyampaian maklumat dapat mencapai semua lapisan pengundi," katanya.

Ahmad Daniel bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) Dr Muhammad Naqib Md Ghazali dan calon Perikatan Nasional (PN), Alias Rasman bagi merebut kerusi DUN Panti pada PRN Johor kali ini.

PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2.7 juta pengundi berdaftar pada hari pengundian Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N34: PANTI: 41,407

1. Dr Muhammad Naqib Md Ghazali (BN-UMNO)

2. Alias Rasman (PN-Bersatu)

3. Ahmad Daniel Sharudin (PH-Amanah)

(2022: Hahasrin Hashim: BN-UMNO: Maj: 5,854)