Am 06/10/2026 06:47 PM

Dakwaan Petrol Campur Air: KPDN Perak Laksana Pemeriksaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dakwaan Petrol Campur Air: KPDN Perak Laksana Pemeriksaan
Kredit : KPDN Perak

IPOH, 6 Okt -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak tidak menemukan sebarang petunjuk campuran air dalam tangki simpanan petrol RON95 yang diperiksa di enam stesen minyak di sekitar Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.

Pengarah KPDN negeri Datuk Kamalludin Ismail berkata dapatan itu diperoleh hasil pemeriksaan awal menerusi kaedah celupan manual dan semakan sistem Automatic Tank Gauge (ATG).

Beliau berkata bagaimanapun, dapatan awal itu tidak boleh dianggap sebagai keputusan muktamad dan sampel bahan api yang telah diambil oleh pihak KPDN kini dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis saintifik secara terperinci. 

"Sehubungan dengan itu, KPDN tidak membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan berkenaan sehingga keputusan analisis rasmi diperoleh dan siasatan dimuktamadkan.

"KPDN Perak akan meneliti keputusan analisis makmal serta keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya. Sekiranya terbukti wujud sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata pemeriksaan itu dilaksanakan susulan aduan awam serta hantaran tular di media sosial berhubung dakwaan bahan api jenis petrol RON95 yang disyaki bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan pengguna.

Beliau berkata bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan teliti, pasukan penguat kuasa telah melaksanakan beberapa tindakan pemeriksaan.

"Antaranya memeriksa tangki simpanan bahan api secara celupan manual menggunakan dipstick atau dip rod serta membuat semakan silang dengan bacaan sistem ATG dan mengambil sampel petrol RON95 daripada tangki simpanan dan pam yang terlibat untuk dikemukakan kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis rasmi.

"Selain itu, mengumpul serta menyemak rekod penerimaan bekalan, dokumen transaksi jualan bahan api dan maklumat berkaitan daripada pengusaha stesen minyak bagi tempoh yang terlibat," katanya.

-- BERNAMA