Am 06/10/2026 08:08 PM

Sunah Rasulullah SAW Jadi Panduan Depani Cabaran Dunia Semasa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sunah Rasulullah SAW Jadi Panduan Depani Cabaran Dunia Semasa

KANGAR, 6 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sunah Rasulullah SAW perlu terus dijadikan panduan, dalam mendepani pelbagai cabaran dunia semasa yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sunah Rasulullah SAW mengandungi panduan dan prinsip praktikal, dalam membentuk kehidupan manusia yang aman, adil dan sejahtera.

Baginda bertitah dunia hari ini berhadapan pelbagai ketidaktentuan termasuk konflik kemanusiaan, tekanan ekonomi, perubahan sosial yang pantas serta perkembangan teknologi begitu pesat, sehingga turut memberi cabaran terhadap nilai kemanusiaan, jati diri dan kehidupan bermasyarakat.

“Dalam realiti semasa, ketidakstabilan sosial, konflik, jenayah siber, gangguan teknologi serta perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) menuntut kita untuk kembali meneliti pendekatan dan kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW,” titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Seminar Warisan Nabawi Peringkat Antarabangsa kali ke-10 (SWAN X) 2026, yang berlangsung di Imam Bukhari International Scientific Research Centre, Samarkand di Uzbekistan seperti dimaklumkan menerusi kenyataan Istana Arau hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Gabenor Wilayah Samarkand Adiz Boboev dan dihadiri Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan Rafedah Abdul Aziz.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah menjadi tanggungjawab bersama, untuk mendekatkan generasi kini dengan sunah Rasulullah SAW serta menjadikannya sebagai panduan, dalam mencari penyelesaian terhadap pelbagai permasalahan dihadapi.

Sementara itu, Istana Arau memaklumkan SWAN X 2026 dianjurkan Fakulti Pengajian Quran dan Sunah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta beberapa rakan strategik lain.

Istana Arau memaklumkan persidangan akademik berprestij itu, menghimpunkan ulama, ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai negara bagi meneroka pendekatan serta penyelesaian terhadap cabaran kontemporari berteraskan tradisi dan warisan Islam.

“Mengangkat tema Warisan Nabawi Dalam Menerajui Era Ketidakstabilan Global, SWAN X 2026 memberi tumpuan kepada aplikasi ajaran dan legasi Rasulullah SAW, sebagai kerangka panduan dalam mendepani cabaran geopolitik, sosial dan ekonomi dunia moden.

“Para delegasi antarabangsa turut membentangkan hasil kajian ilmiah, yang merangkumi pelbagai subtema berkaitan warisan Nabawi dan isu semasa,” menurut Istana Arau.

Istana Arau memaklumkan kertas kerja berkualiti yang terpilih bakal diterbitkan dalam jurnal berindeks Scopus dan MyCite, selain dihimpunkan dalam e-Prosiding rasmi sekali gus membantu merapatkan jurang antara khazanah ilmu turath dengan keperluan serta standard akademik kontemporari.

-- BERNAMA