Am 06/10/2026 06:51 PM

U Mobile Capai 90 Peratus Liputan CoPA Di Seluruh Negara, Awal Sembilan Bulan - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
U Mobile Capai 90 Peratus Liputan CoPA Di Seluruh Negara, Awal Sembilan Bulan - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menerima sijil simbolik pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records bagi rangkaian 5G terpantas untuk mencapai 90 peratus CoPA daripada Ketua Pegawai Eksekutif U-Mobile, Wong Heang Tuck pada majlis Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) 5G U Mobile Sdn Bhd di sini hari ini.

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- U Mobile Sdn Bhd telah mencapai liputan 90 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, sembilan bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kejayaan penyediaan infrastruktur digital itu mencerminkan komitmen padu pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam mempercepat peralihan teknologi negara.

Fahmi berkata keputusan kerajaan untuk melaksanakan Model Dwirangkaian 5G telah terbukti berkesan dalam merangsang persaingan sihat, meningkatkan pelaburan dan memacu inovasi dalam sektor telekomunikasi tempatan.

“Hal ini kerana kita sedang berada pada satu tahap, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di banyak bahagian di seluruh dunia di mana persoalan mengenai infrastruktur digital menjadi asas kepada kemajuan teknologi, dan penggunaan pelbagai aplikasi akan mula diterima pakai.

“Kita memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan mengambil kira infrastruktur yang telah disediakan, bagaimana kita dapat meyakinkan ramai pihak khususnya dalam kalangan pemain industri untuk menerima pakai penyelesaian yang kita percaya sepatutnya digunakan ketika ini,” katanya ketika berucap pada acara Liputan CoPA 5G U Mobile di sini hari ini.

Fahmi turut menggesa pengendali MNO untuk memperluas dan memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, khususnya universiti, pada peringkat lebih awal memandangkan perubahan demografi serta pola pemikiran telah meningkatkan penggunaan data dalam kalangan mahasiswa dengan ketara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih berkenaan telah mencapai liputan 90 peratus di CoPA seluruh negara, iaitu lebih awal daripada tarikh akhir pada 2027 sekali gus membuktikan komitmen yang telah ditunaikan kepada kerajaan.

"Keputusan kerajaan untuk memperkenal Model Dwirangkaian 5G menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam pembangunan digital Malaysia dengan menggalakkan persaingan, pelaburan dan inovasi yang lebih hebat," katanya.

Wong berkata pelaksanaan rangkaian itu di seluruh negara bermula pada Julai 2025 dan menjelang Mac tahun ini, syarikat berkenaan telah mencapai liputan 80 peratus di (CoPA), iaitu tga bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

Beliau berkata pencapaian itu turut membolehkan U Mobile menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi pelaksanaan rangkaian 5G terpantas yang mencapai liputan 90 peratus di CoPA menjelang akhir bulan September.

“Ultra 5G kini menyediakan liputan 5G kepada penduduk paling meluas di Malaysia. Kepentingan pencapaian ini melangkaui aspek kepantasan pelaksanaan atau peratusan liputan.

“Ia adalah mengenai penyediaan ketersambungan lebih pantas dan boleh dipercayai kepada lebih ramai rakyat Malaysia dengan membantu mereka berkomunikasi, belajar, bekerja serta mengakses perkhidmatan digital selain membolehkan usahawan dan perniagaan kecil menjangkau pelanggan, menambah baik operasi serta terlibat secara lebih aktif dalam ekonomi digital,” katanya.

-- BERNAMA