Politik 06/10/2026 06:59 PM

GRS Sasar Menang Sehingga 15 Kerusi Parlimen Pada PRU Akan Datang - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GRS Sasar Menang Sehingga 15 Kerusi Parlimen Pada PRU Akan Datang - Armizan
Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berbincang dengan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali (kiri) selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). - otoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menumpukan strategi untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menyasarkan kemenangan di kerusi Parlimen yang berpotensi cerah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung Datuk Armizan Mohd Ali berkata strategi itu penting bagi memastikan sokongan terhadap GRS bukan sahaja dapat dikekalkan di kawasan yang telah menunjukkan prestasi baik, malah diperluas ke kawasan Parlimen lain.

“GRS secara atas kertas berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah. Bagaimanapun jumlah itu bukan sasaran akhir kerana GRS mahu memperoleh jumlah kerusi yang lebih besar bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata strategi gabungan itu turut berpandukan pengajaran dan pengalaman daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) terdahulu, khususnya dalam meletakkan calon yang mempunyai peluang kemenangan yang tinggi.

GRS terdiri daripada enam parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Gabungan itu kini mempunyai tujuh kerusi Parlimen iaitu Tuaran, Penampang, Papar, Sipitang, Ranau, Batu Sapi dan Tawau.

Armizan juga berkata gabungan itu akan mengadakan Konvensyen GRS pada 18 Okt ini di Dewan Tun Mustapha, Kudat yang dijangka dihadiri kira-kira 2,500 perwakilan daripada enam parti gabungan GRS.

Beliau berkata antara fokus utama dalam konvensyen itu adalah membincangkan pencapaian GRS selepas menjadi kerajaan, memberikan ruang kepada setiap menteri mengemukakan hala tuju kementerian masing-masing.

“Konvensyen ini terasnya serampang dua mata, bukan hanya membincangkan agenda politik malah juga rakyat keseluruhannya,” katanya.

Mengenai mesyuarat itu, Armizan berkata agenda mesyuarat turut melibatkan perbincangan mengenai Belanjawan Negeri 2027 manakala Hajiji akan memberikan ruang kepada setiap parti memberikan cadangan untuk dipertimbangkan sebelum dimasukkan dalam belanjawan berkenaan.

Beliau berkata pandangan serta aspirasi belanjawan secara bertulis juga boleh dikemukakan kepada Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

-- BERNAMA