KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Perancis dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang peralihan tenaga dalam masa terdekat bagi mempercepat agenda peralihan tenaga ke arah masa depan lebih bersih serta mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dibincang semasa beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour di Bangunan Parlimen hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata pertemuan tersebut membincangkan langkah-langkah strategik untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis khususnya dalam bidang peralihan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui.
“Perancis mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan teknologi hijau yang boleh menyokong usaha Malaysia mempercepat agenda peralihan tenaga ke arah masa depan lebih bersih dan mampan.
“Sebagai langkah awal, Malaysia dan Perancis dijangka memeterai MoU dalam bidang peralihan tenaga dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerjasama kedua-dua negara akan terus diperkukuh menerusi pelbagai platform strategik.
“Semoga kerjasama ini terus diperkukuh melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan peluang pelaburan yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA