KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Seorang rakyat Malaysia antara 13 yang ditahan pihak berkuasa Laos susulan penemuan 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine di dalam sebuah jet peribadi di negara itu, minggu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati, pesawat persendirian jenis Learjet terbabit berlepas dari Subang, Selangor menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan suspek warganegara Malaysia yang ditahan itu tidak menaiki penerbangan tersebut.
“Setakat ini, kita belum terima maklumat (terperinci) ataupun butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos. Maklumat yang kita ada sekarang, seorang daripada 13 individu yang ditahan itu membabitkan seorang warga Malaysia.
“Siasatan mendapati penerbangan (itu) menggunakan jet peribadi dari Subang ke Laos, namun pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan kes tangkapan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia sebelum ini, Hussein berkata perkara itu masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk pihak polis membuat sebarang kesimpulan.
Bernama yang memetik laporan Vientiane Times hari ini, melaporkan polis Laos berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 500 bungkusan crystal methamphetamine menerusi jalan udara pada 1 Okt.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pesawat Learjet bernombor pendaftaran N73GP itu menemukan 23 beg pakaian, dengan 21 daripadanya padat dengan bahan berhablur putih disyaki dadah seberat 521kg.
Operasi keselamatan itu dilancarkan pada 1.30 tengah hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, susulan maklumat perisikan yang diterima pihak berkuasa wilayah berkenaan pada 21 Sept, mengenai perancangan sindiket merentas sempadan.
Tangkapan melibatkan 13 individu iaitu juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing, tiga pekerja syarikat swasta serta tujuh kakitangan lapangan terbang berkenaan, termasuk tiga wanita.
-- BERNAMA