Pelbagai Inisiatif Kerajaan Perkasa Pembangunan Komuniti FELDA
MARAN, 7 Julai (Bernama) -- Pelbagai peruntukan yang disediakan bagi meningkatkan kesejahteraan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam membela nasib peneroka serta memperkukuh pembangunan komuniti FELDA.
Peneroka Felda Chemplak di Segamat, Johor, Milah Yoot, 73, berkata insiatif yang disediakan kerajaan sudah semestinya membawa manfaat kepada generasi FELDA dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa.
“Kemudahan serta bantuan yang disalurkan kerajaan wajar dimanfaatkan oleh peneroka, terutama generasi muda untuk terus berusaha meningkatkan keupayaan diri dan meneruskan legasi pembangunan FELDA," katanya.
Milah yang juga penerima Anugerah Tokoh Penerokawati 2025 ditemui Bernama pada Majlis Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif antaranya memperkasakan literasi digital kepada warga peneroka melibatkan peruntukan sebanyak RM15.85 juta kepada 317 rancangan FELDA yang layak.
Selain itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan FELDA manakala dana tambahan berjumlah RM3 juta disediakan bagi pasukan kesihatan Skuad MAYA FELDA.
Peneroka Felda Jerangau Barat di Ajil, Terengganu, Haron Sulaiman, 66, pula percaya inisiatif diumumkan seperti literasi digital itu berupaya menjadi dorongan buat generasi FELDA untuk terus maju.
Sementara itu, Muhammad Farizul Hafiz Awang, 36, memuji langkah kerajaan menjadi pemudah cara dalam membantu generasi FELDA untuk memiliki kediaman sendiri.
Penduduk FELDA Panching Utara, Kuantan itu berkata inisiatif itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan generasi FELDA, khususnya bagi mereka yang ingin menetap dan membina kehidupan di kawasan tanah rancangan.
Sebelum ini, Anwar turut dilaporkan berkata kerajaan bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Bekalan Minyak Mentah Untuk Pengeluaran Perindustrian Masih Terkawal
- Kerajaan Pastikan Stok Petroleum Negara Cukup, Selamat Bagi Tempoh Julai-Disember 2026
- Anggota Tentera Maut Letupan Grenad Dinaikkan Pangkat Secara Anumerta
- Sesi Dialog Politik Diharap Jadi “Turning Point” Budaya Politik Matang - Maszlee
- PRN Johor: Manifesto PH Tawar Penyelesaian Holistik Tangani Kos Sara Hidup - Maszlee