07/07/2026 06:23 PM

Pasaran Getah Ditutup Lebih Rendah

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah pada Selasa, terjejas oleh permintaan jangka pendek dari China dan data ekonomi yang lebih lemah dari Amerika Syarikat (AS). 

Seorang peniaga berkata pengeluar tayar China mengalami pesanan baharu yang lemah dan inventori yang tinggi, menyebabkan beberapa kilang mula memberhentikan penyelenggaraan dan mengurangkan permintaan getah dalam jangka pendek. 

“Sementara itu, aktiviti perkhidmatan AS susut kepada 54.0 pada Jun, manakala pekerjaan kembali pulih selepas tiga bulan mencatatkan penurunan,” katanya kepada Bernama. 

Beliau menambah bahawa sentimen pasaran terus terjejas oleh ringgit yang sedikit lebih kukuh berbanding dolar AS dan ketegangan geopolitik yang kembali berlaku di Asia Barat. 

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0815/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0825/0875 ketika ditutup pada Isnin. 

Bagaimanapun, peniaga itu berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah penanda aras yang lebih tinggi, kebimbangan mengenai bekalan bahan mentah yang lebih terhad susulan ramalan hujan lebat di Thailand, iaitu pengeluar getah asli utama, dan jualan kenderaan yang positif di United Kingdom. 

“Harga minyak meningkat berikutan timbul kembali kebimbangan mengenai keselamatan di Selat Hormuz, mengatasi jangkaan bekalan minyak mentah global di lebih tinggi. 

“Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) mengeluarkan tinjauan cuaca selama tujuh hari bermula 5 Julai hingga 11 Julai 2026, yang menyatakan bahawa hujan lebat hingga sangat lebat dijangka melanda beberapa bahagian di Thailand,” katanya. 

Ketika ini, minyak mentah Brent meningkat 1.36 peratus kepada US$72.97 setong. 

Pada 3 petang hari ini, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut satu sen kepada 886 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurang lima sen kepada 736 sen sekilogram. 

-- BERNAMA