07/07/2026 06:07 PM

LIMA'27 Sasar Penyertaan 930 Syarikat Pempamer

KUALA LUMPUR, 7Julai (Bernama) -- Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA'27) menyasarkan penyertaan hingga 930 syarikat pempamer, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding edisi sebelumnya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata unjuran itu mencerminkan pertumbuhan berterusan LIMA serta menyerlahkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat dalam ekosistem pertahanan, maritim dan aeroangkasa global.

Beliau berkata sambutan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa amat menggalakkan sejak pelancaran LIMA'27 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 awal tahun ini, dengan kira-kira 40 peratus ruang pameran telah ditempah.

"Pencapaian ini mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia serta mengukuhkan kedudukan LIMA sebagai platform pilihan bagi diplomasi pertahanan, kerjasama teknologi dan penglibatan perniagaan strategik di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Panglima Angkatan tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman pada majlis pelancaran LIMA’27 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Global Exhibitions and Conference Jen (B) Tan Sri Azizan Ariffin.

LIMA'27 dengan bertemakan Visi Kemampanan Merentasi Laut, Udara dan Angkasa”, mencerminkan aspirasi Malaysia untuk memastikan pembangunan pertahanan dan keselamatan masa hadapan bukan sahaja berteraskan teknologi canggih malah mampan, berdaya tahan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Mohamed Khaled berkata LIMA’27 dijangka menghimpunkan penyertaan pempamer dari 36 negara, kira-kira 400,000 pengunjung perdagangan dan awam serta 450 delegasi antarabangsa mewakili 65 negara.

Beliau berkata pameran berkenaan dijangka menampilkan 110 aset udara serta 90 aset maritim.

Selain itu, beliau berkata jemputan telah dipanjangkan kepada empat pasukan pertunjukan aerobatik antarabangsa dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Rusia untuk menyertai LIMA’27.

Sementara itu, pada sidang media selepas pelancaran LIMA’27, Lokman Hakim berkata pameran berkenaan akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan beberapa aset baharu yang diperoleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata pesawat tempur ringan FA-50 Fighting Eagle keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) dari Korea Selatan, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu Altitud Sederhana Ketahanan Lama (UAS MALE) ANKA-S serta Kapal Tempur Pesisir (LCS) juga akan dipamerkan kepada orang ramai buat julung kalinya.

Malek Razak pula berkata penganjuran LIMA’27 selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara dan Pelan Strategik Pertahanan Negara.

“LIMA merupakan platform strategik yang dirangka kementerian dan ATM ke arah membangunkan Force of the Future yang telah memasuki fasa pelaksanaan bermula tahun ini hingga 2030,” katanya.

LIMA’27 dijadual berlangsung di Langkawi pada 20 hingga 24 April 2027.

-- BERNAMA