07/07/2026 07:13 PM

MMM Sambut Baik Cadangan PM Anwar Rujuk Aduan Wartawan Kepada Majlis

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya aduan melibatkan wartawan daripada organisasi media yang diiktiraf perlu dirujuk kepada majlis itu terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut.

MMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu mencerminkan keyakinan terhadap peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas bagi industri media negara.

"MMM melihat kenyataan ini sebagai pengiktirafan penting terhadap peranan majlis sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas untuk industri media, selaras dengan mandat MMM untuk memperkukuh kebebasan media, meningkatkan piawaian kewartawanan, menggalakkan etika media yang bertanggungjawab, serta menyediakan mekanisme aduan yang adil, bebas dan berasaskan proses yang jelas," menurut kenyataan itu.

Menurut MMM, sebagai sebuah institusi kawal selia kendiri, MMM bukan bertujuan menggantikan peranan undang-undang atau agensi penguatkuasaan, sebaliknya wartawan dan organisasi media tetap tertakluk kepada undang-undang negara.

Bagaimanapun, dalam hal berkaitan amalan kewartawanan, tindakan terhadap wartawan tidak wajar dibuat secara automatik hanya kerana terdapat aduan daripada mana-mana pihak.

Menjelaskan mekanisme aduan itu, MMM berkata orang awam, organisasi mahupun pihak berkuasa boleh mengemukakan aduan kepada Majlis untuk disemak terlebih dahulu oleh sekretariat bagi memastikan ia berada dalam bidang kuasa MMM.

Aduan sedemikian perlu melalui proses semakan yang memahami konteks kerja kewartawanan, peranan media dalam demokrasi, serta tanggungjawab media kepada orang awam.

Sekiranya bersesuaian, MMM akan merujuk perkara berkenaan kepada organisasi media terbabit untuk mendapatkan penjelasan atau tindakan pembetulan. Jika gagal diselesaikan pada peringkat awal, perkara itu akan dinilai lanjut berdasarkan Kod Tatalaku Majlis serta prinsip kewartawanan.

"Mekanisme ini bukan bertujuan melindungi media daripada akauntabiliti. Sebaliknya, ia diwujudkan untuk memastikan akauntabiliti media dilaksanakan melalui proses yang betul, bebas, telus dan seimbang. 

"Pendekatan ini penting bagi memastikan wartawan tidak dikenakan tekanan, siasatan atau tindakan punitif secara sewenang-wenangnya. Pada masa yang sama, ia juga memastikan pihak yang terkesan oleh laporan media mempunyai saluran yang sah dan tersusun untuk mendapatkan penjelasan, maklum balas, pembetulan atau penyelesaian," menurut MMM.

Dalam pada itu, MMM turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini dibuat dalam konteks kebimbangan terhadap kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia.

Sehubungan dengan itu, MMM menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan, ahli politik dan orang ramai, supaya menggunakan mekanisme aduan yang disediakan sekiranya terdapat pertikaian berhubung laporan media, berbanding kecenderungan menggunakan tekanan awam atau tindakan punitif.

MMM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan, Parlimen, organisasi media, masyarakat sivil dan orang awam bagi memastikan pendekatan itu dilaksanakan secara berkesan, bebas dan selaras dengan kepentingan demokrasi.

“Kebebasan media dan tanggungjawab media tidak boleh dilihat sebagai dua perkara yang bertentangan, sebaliknya perlu diperkukuh secara bersama," katanya.

-- BERNAMA