Am 07/07/2026 08:14 PM

Fahmi Hargai Komitmen Petugas Bernama Berikan Liputan Komprehensif Sepanjang PRN Johor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahmi Hargai Komitmen Petugas Bernama Berikan Liputan Komprehensif Sepanjang PRN Johor
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil membuat lawatan kerja ke Pusat Media Pilihan Raya dan Pusat Operasi ⁠Bernama sempena ⁠PRN Johor ke-16. Beliau meninjau fasiliti tersebut untuk memastikan liputan berita berjalan lancar dan capaian Internet berkelajuan tinggi berfungsi dengan baik buat para pengamal media. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (kiri), Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Arul Rajoo Durar Raj (empat,kiri) serta Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita BERNAMA, Mohd Haikal Mohd Isa. —fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini merakamkan penghargaan terhadap komitmen petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan menyeluruh.

Beliau berkata hasil tinjauan ke Pusat Operasi Bernama bagi PRN Johor mendapati segala kemudahan serta sokongan yang disediakan kepada petugas berada pada tahap memuaskan bagi melancarkan operasi liputan.

"Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau Pusat Operasi Bernama di mana para wartawan, subeditor, editor dan petugas Bernama TV berpangkalan di sini (sepanjang PRN Johor). Saya lihat kemudahan yang disediakan adalah baik dan dimaklumkan ada 44 orang staf terdiri daripada wartawan, jurukamera dan jurugambar ditugaskan membuat laporan dan liputan berita sepanjang PRN Johor.

“Dari berpusat di sini (pusat operasi), mereka membuat liputan di seluruh negeri Johor, dari Endau hingga Tanjung Surat dan ke bahagian utara Johor," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Operasi Bernama bagi  PRN Johor, di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj atas persiapan dan penyelarasan operasi liputan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datin Paduka Nur-ul Afida dan juga Encik Arul. Saya lihat segala persiapan, penyediaan bantuan dan sokongan kepada para wartawan Bernama berada pada tahap yang sangat memuaskan," katanya.

Diiringi Nur-ul Afida dan Arul, Fahmi meluangkan masa lebih sejam meninjau Pusat Operasi PRN Johor, selain menyantuni wartawan dan petugas yang bertugas sepanjang pilihan raya negeri itu.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA