Am 08/10/2026 06:39 PM

Penolong Pegawai Ekonomi Berdepan 14 Pertuduhan Guna Dokumen Tuntutan Palsu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penolong Pegawai Ekonomi Berdepan 14 Pertuduhan Guna Dokumen Tuntutan Palsu

SANDAKAN, 8 Okt (Bernama) -- Seorang penolong pegawai ehwal ekonomi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menggunakan dokumen tuntutan mengandungi butiran matan palsu berkaitan pembekalan bernilai RM15,288 dari 2023 hingga 2024.

Nur Izzati Mohd Rudzuan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Tertuduh, yang bertugas di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan ketika kejadian, didakwa menggunakan beberapa invois berhubung pembekalan yang mengandungi butiran matan dan pernyataan palsu serta mengelirukan prinsipal kerana pembekalan itu tidak dilakukan sepenuhnya.

Pembekalan itu melibatkan penyediaan makan minum, perkhidmatan sistem siar raya, produk sejuk beku, kerepek, udang kering, ikan bilis mata biru, ikan masin dan udang harimau segar selain hamper sebagai hadiah.

Nur Izzati didakwa melakukan sembilan daripada kesalahan itu antara Ogos hingga Sept 2023 manakala lima lagi dari April hingga Mei 2024 di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 dibaca bersama dengan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, Nur Izzati berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip manakala tertuduh diwakili peguam Sharaths Masyaroh John Ridwan Lincon.

-- BERNAMA