Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang ASEAN, namun sebaliknya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah lonjakan semula harga minyak mentah serta ketegangan geopolitik yang meruncing di Asia Barat, kata penganalisis.
Pada 6 petang, ringgit menyusut ke paras 4.0890/0940 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0850/0895, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent menokok 4.08 peratus kepada US$104.29 setong ketika krisis Asia Barat dijangka terus berlanjutan.
“Selain itu, kebimbangan terhadap kemampanan fiskal di Eropah, khususnya di Perancis juga menyebabkan dolar AS mengukuh. Para peniaga dilihat sedang mencari perlindungan daripada ketidaktentuan (yang berlaku ini),” katanya kepada Bernama.
Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3930/3996 daripada 5.4049/4108, naik berbanding euro kepada 4.5719/5775 daripada 4.5740/5790 namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.5834/5867 daripada 2.5797/5827.
Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding negara anggota ASEAN lain.
Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1893/1934 daripada 3.1919/1957 pada penutup urus niaga semalam dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.51/6.52.
Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.1371/1563 daripada 12.1217/1386 sebelum ini namun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.2/228.6 daripada 228.3/228.7 semalam.
-- BERNAMA