Am 08/10/2026 08:09 PM

MASET Sasar 100 Peratus Penempatan Kerja Peserta Program 5G, AI Dan Cloud

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MASET Sasar 100 Peratus Penempatan Kerja Peserta Program 5G, AI Dan Cloud
Penasihat Malaysian Association Of Science And Engineering Technology (Maset) Prof. Ir. Dr. Harikrishnan Ramiah (dua, kiri) menyampaikan sijil kepada Nur Izyan Bolhan (tiga, kiri) pada Majlis Penutupan Program 5G Enterprise Accelerator: Upskilling For Careers In 5G, AI, Cloud & Industry 4.0 di Telecommunication Engineering College (TEC) Bandar Puchong Jaya hari ini. Turut sama, Pengarah Telecommunication Engineering College (TEC) Ir. Ts. Suresh Kumar Kandasamy (kiri) - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUCHONG, 8 Okt (Bernama) -- Malaysian Association of Science and Engineering Technology (MASET) menyasarkan 100 peratus daripada 50 peserta program 5G Enterprise Accelerator: Upskilling for Careers in 5G, AI, Cloud & Industry 4.0 kohort 2026 mendapat penempatan pekerjaan dalam tempoh empat minggu.

Pengarah MASET Ir. Ts. Suresh Kumar Kandasamy berkata program itu, yang berlangsung sejak 2 Sept lepas di bawah program latihan dan penempatan pekerjaan, dibiayai sepenuhnya menerusi inisiatif MyMahir oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam memenuhi keperluan industri teknologi negara.

“MASET sebelum ini telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat telekomunikasi antaranya Maxis dan Huawei bagi membuka peluang pekerjaan kepada peserta.

“Hubungan ini membantu memastikan latihan yang disampaikan selaras dengan keperluan kemahiran di tempat kerja, di samping membuka ruang kepada peserta untuk membina kerjaya dalam sektor teknologi,” katanya kepada Bernama pada majlis penutup program itu di sini hari ini.

Beliau berkata program itu merekodkan kadar kelulusan peperiksaan 100 peratus, dengan kohort pada tahun lepas turut mencapai kadar penempatan pekerjaan 100 peratus.

“MASET dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam industri latihan dan pembangunan kemahiran akan terus menyediakan latihan yang selaras dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi.

“Latihan intensif itu melibatkan gabungan latihan teknikal, pendedahan praktikal, persediaan pensijilan dan pembangunan kerjaya, selain kemahiran untuk melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang teknologi,” katanya.

Suresh berkata antara tumpuan program ialah memastikan peserta dilengkapi kemahiran yang selari dengan keperluan semasa industri termasuk bidang teknologi dan jawatan yang paling mendapat permintaan majikan.

Sementara itu, seorang peserta program Chua Yu Xiang, 23, berterima kasih kepada MASET dan TalentCorp kerana program berkenaan memberikan peluang pekerjaan kepadanya di sebuah syarikat telekomunikasi sebagai Jurutera Tinjauan Tapak Teknikal.

Bagi Nur Izyan Bolhan, 34, program itu membantunya mendalami kemahiran yang dapat dipraktikkan secara terus untuk menyokong keperluan kerjaya baharu di sebuah syarikat elektronik di Shah Alam, Selangor.

“Saya sangat teruja dan bersyukur mendapat tawaran kerja ini, dan ini peluang terbaik untuk saya memulakan kerjaya baharu selepas tamat latihan,” katanya.

Sementara itu, MASET dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 50 peserta program itu terdiri daripada graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas dalam bidang kejuruteraan atau bidang berkaitan, selain graduan baharu serta mereka yang belum bekerja.

Menurut MASET, sepanjang latihan, peserta mengikuti pembelajaran dalam bidang teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, automasi dan aplikasi Revolusi Industri 4.0.

“Kandungan program turut diperkukuh melalui kerjasama dengan LabLabee yang menyediakan latihan praktikal dalam telco cloud, Industrial Internet of Things (IIoT), OpenStack, Kubernetes dan penggunaan Application Programming Interface (API).

“Kerjasama ini membantu peserta memahami aplikasi teknologi dalam persekitaran industri. Peserta turut menjalani latihan praktikal dan persediaan bagi mendapatkan pensijilan Qualcomm Academy 5G Introductory-Level Certification dan Qualcomm Academy 5G Associate-Level Certification,” menurut kenyataan itu.

MASET memaklumkan agensi itu turut bekerjasama dengan Akademi Qualcomm bagi memperluas akses kepada latihan AI secara percuma dengan sasaran penyertaan 10,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. 

-- BERNAMA