KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Awantec Systems Sdn Bhd (Awantec) meraih Anugerah Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan pada Anugerah Digital AI 2026 anjuran Asian-Oceanian Computing Industry Organization (ASOCIO) yang diadakan di Jakarta, Indonesia.
Awantec memaklumkan anugerah berkenaan memberi pengiktirafan atas inisiatif syarikat berkenaan di seluruh negara, "Memperkasakan Literasi AI dalam Pendidikan Tinggi Malaysia”, yang dilaksanakan dengan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Inisiatif berkenaan yang dilaksanakan di 20 universiti awam melengkapkan pelajar dan tenaga akademik dengan peralatan moden AI. Menerusi Pendidik AI (Google AI Pro), pendidik dapat meningkatkan pengajaran aspek pengajaran, penyelidikan dan tugasan akademik manakala Siswa AI (Gemini Notebook Enterprise) membantu pelajar menguasai kemahiran praktikal dalam penyelidikan, menggabungkan maklumat dan pemikiran kritis,” menurut Awantec dalam kenyataan hari ini
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Awantec Azizah Ali berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan Malaysia yang bersedia mendepani perkembangan AI.
“Fokus kami (Awantec) bukan sekadar kepada penyediaan teknologi. Bersama-sama KPT, kami membina pengetahuan, keyakinan dan keupayaan diperlukan untuk memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab, sekali gus mempersiapkan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia menghadapi dunia yang dipacu AI,” katanya.
Menurut Awantec, program Siswa AI turut diperkukuh melalui penganjuran webinar, jelajah kampus serta reruai interaktif di seluruh kampus bagi memberi bimbingan secara praktikal kepada pelajar dalam penggunaan AI.
Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang transformasi digital, Awantec merupakan satu-satunya Penyedia Perkhidmatan Terurus (MSP) Google Cloud di Malaysia di bawah Perjanjian Rangka Kerja Awan, dengan menggabungkan keupayaan teknologi dan pembangunan bakat untuk memperkasakan transformasi digital serta memberi impak kepada negara.
-- BERNAMA