Am 08/10/2026 08:55 PM

Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi Negara AI 2030

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kementerian Digital Sedia Akses Coursera Kepada 100,000 Rakyat, Sokong Visi Negara AI 2030
Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation Adrian Marcellus (kiri) bersama Ketua Perusahaan Global Coursera Anthony Salcito , Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia Datuk Fabian Bigar dan Pengarah Urusan Coursera Asia Pasifik Ashutosh Gupta. Kredit Foto: MyDIGITAL Corporation

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Digital menerusi MyDIGITAL Corporation menyediakan 100,000 lesen pembelajaran bagi membolehkan rakyat Malaysia mengakses kursus digital dan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform pembelajaran dalam talian, Coursera.

MyDIGITAL Corporation dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif yang ditawarkan menerusi portal Rakyat Digital itu memberikan akses percuma selama tiga bulan kepada lebih 16,000 kursus dan program Sijil Profesional ditawarkan universiti terkemuka serta pakar industri di seluruh dunia.

Di bawah Pas Pembelajaran Global tajaan kerajaan itu, rakyat Malaysia yang mempunyai MyDigital ID boleh mengakses kursus merangkumi bidang AI, teknologi, sains data, perniagaan dan literasi digital bermula 16 Sept dengan lesen diagihkan secara berperingkat, tertakluk kepada kelayakan serta ketersediaan.

“Keputusan awal menunjukkan sambutan baik dengan 12,900 pelajar mendaftar dalam 43,000 kursus dalam tempoh tiga minggu pertama, terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Perak dengan kursus paling popular ialah Understanding Digital Transformation, iaitu kursus khas yang dibangunkan oleh MyDIGITAL Corporation menggunakan Coursera’s Course Builder.

“Direka untuk pelajar peringkat permulaan, kursus berdurasi kira-kira dua jam itu memperkenalkan teknologi yang memacu ekonomi digital Malaysia termasuk pengkomputeran awan, pusat data moden, AI dan pembelajaran mesin, blok rantai, Internet benda (IoT) serta 5G.

“Kursus popular lain termasuk Google’s AI Fundamentals, Foundations: Data, Data, Everywhere dan Foundations of Project Management yang mencerminkan permintaan terhadap kemahiran praktikal serta relevan dengan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

MyDIGITAL Corporation berkata inisiatif itu sebahagian daripada ekosistem Rakyat Digital dan menyokong Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030, selaras dengan aspirasi Negara AI 2030 Malaysia.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kementerian untuk memastikan pembelajaran AI dan digital dapat diakses semua lapisan masyarakat.

“Peluasan akses kepada kursus dan kelayakan profesional yang diiktiraf pada peringkat global menerusi Coursera memperkukuh komitmen kami untuk membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.

“Objektif utama kami adalah untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang relevan agar mereka dapat mengambil bahagian secara yakin dan saksama dalam ekonomi digital,” katanya.

Ketua Perusahaan Global Coursera Anthony Salcito berkata inisiatif itu langkah penting ke arah membina budaya pembelajaran sepanjang hayat yang menyokong agenda AI dan transformasi digital Malaysia.

“Malaysia menetapkan penanda aras bagaimana sesebuah negara boleh mempersiapkan rakyatnya untuk masa depan yang dikuasai AI dan kami bangga menjadi sebahagian daripada aspirasi itu,” katanya.

Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengikuti program itu boleh mendaftar untuk Pas Pembelajaran Global menerusi www.rakyatdigital.gov.my.

-- BERNAMA