Politik 08/10/2026 08:05 PM

PRN Melaka: PH Kemuka Gagasan "Melaka Rumah Kita"

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: PH Kemuka Gagasan

MELAKA, 8 Okt (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan gagasan “Melaka Rumah Kita” sebagai tawaran kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, dengan manifesto dan agenda masa depan negeri turut dibentangkan.

Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata gagasan itu akan mengetengahkan aspirasi gabungan berkenaan berkaitan masa depan Melaka, kehidupan rakyat dan hala tuju negeri yang ingin dibentuk sekiranya diberi mandat.

Beliau berkata gagasan itu akan dibina secara berperingkat bermula dengan pembukaan bilik gerakan PH hari ini, yang disifatkan sebagai “tiang pertama” kepada struktur lebih besar yang akan diperkenal sepanjang tempoh pilihan raya.

“Apa dia Melaka Rumah Kita? Nanti saya akan bentangkan sepanjang tempoh menjelang kempen dan juga hari mengundi... manifesto dan juga gagasan kita tentang masa depan Melaka, tentang kehidupan rakyat Melaka, tentang apa yang kita impikan buat Melaka di masa depan,” katanya ketika merasmikan Bilik Gerakan Utama PH Melaka di sini hari ini.

Amirudin berkata PH akan menjalankan kempen PRN Melaka secara positif dengan mengetengahkan tawaran dan gagasan yang boleh dinilai rakyat berbanding hanya bergantung kepada retorik politik. 

Beliau berkata PH memiliki pengalaman mentadbir negeri itu sebelum ini termasuk menerusi kepimpinan Adly Zahari, yang pernah menjadi Ketua Menteri pada 2018. 

“Di sinilah tapak yang sedang kita buat... Melaka itu rumah kita, batu asasnya telah ditanam lama... kawan-kawan DAP telah mempunyai asas di kawasan Kota Melaka, Ayer Keroh dan DUN-DUN yang berkenaan. 

"Insya-Allah, kita boleh rampas balik kawasan-kawasan tradisi kita... Parti Keadilan Rakyat ada kerusi-kerusi tradisi yang pernah kita menangi... begitu juga Amanah... jadi, kita datang Melaka bukan hanya dengan menawarkan sesuatu yang di awang-awangan... kita pernah ada pengalaman," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16 manakala 31 Okt bagi penamaan calon dan undi awal pada 10 Nov.

PRN Melaka pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan untuk membentuk kerajaan negeri manakala Pakatan Harapan meraih lima kerusi dan Perikatan Nasional mendapat dua kerusi.

-- BERNAMA