SEREMBAN, 8 Okt (Bernama) -- Kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam adalah kekayaan sebenar Malaysia yang perlu difahami serta dihargai bagi membina hubungan yang harmoni dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata perayaan bukan sekadar untuk diraikan tetapi menjadi ruang bagi masyarakat berkongsi kegembiraan, mengeratkan hubungan dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat di negara ini.
“Setiap kali musim perayaan tiba, kita dapat melihat semangat muhibah dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Mereka saling berkunjung, beramah mesra dan berkongsi juadah antara satu sama lain.
“Ini membuktikan keunikan budaya masyarakat yang perlu dihargai dan diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Kempen A Brighter Deepavali di Mydin Seremban 2 di sini.
Beliau berkata kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian dalam usaha memperkukuh perpaduan negara, sebaliknya sektor swasta dan masyarakat turut mempunyai peranan penting untuk memastikan nilai perpaduan diterjemahkan melalui tindakan dan amalan seharian.
Bersempena Deepavali ini, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) akan menyantuni 15 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara menerusi kempen A Brighter Deepavali.
Pengarah Eksekutif MYDIN Ahimmat Mydin berkata pasar raya itu bekerjasama dengan stesen radio Raaga dan Minnal FM serta akhbar Makkal Osai bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
MYDIN, melalui inisiatif MYDIN Prihatin bersama rakan pembekal akan menyumbang RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan barangan keperluan asas kepada 15 rumah kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ahimmat berkata orang ramai juga boleh menyumbang barangan keperluan asas menerusi bakul sumbangan yang disediakan di cawangan MYDIN terpilih sehingga 30 Okt ini.
“Pelanggan juga dialu-alukan untuk turut menyumbang supaya lebih ramai dapat merasai kegembiraan sempena Deepavali melalui bantuan yang akan diserahkan bermula 1 hingga 8 Nov ini,” katanya.
-- BERNAMA