KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor pengguna, disokong oleh langkah fiskal bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Dalam kemas kini sektor terkini, firma pelaburan itu memaklumkan bantuan bersasar dan kemungkinan gaji yang lebih tinggi akan menyokong kuasa beli isi rumah.
Bagaimanapun, katanya syarikat kini berdepan persekitaran kos yang kurang menggalakkan apabila kos buruh, elektrik, pengangkutan dan input terpilih meningkat manakala pengguna yang mengambil kira perubahan harga mengehadkan ruang untuk syarikat memindahkan kenaikan kos tersebut kepada pengguna.
“Ini mewujudkan persekitaran yang lebih mencabar dari segi pendapatan. Syarikat mungkin perlu menaikkan harga untuk melindungi margin keuntungan manakala pengguna kekal peka terhadap kenaikan harga,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Analisis menunjukkan bahawa setiap kenaikan gaji minimum sebanyak RM100 boleh mengurangkan pendapatan kira-kira 0.1 hingga 2.7 peratus bagi syarikat dalam liputannya manakala MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan anggaran pendapatan tambahan satu hingga dua peratus susulan kenaikan gaji minimum sebelumnya.
Sementara itu, perbelanjaan pengguna kekal tidak sekata, dengan jualan runcit meningkat 2.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, menjadikan pertumbuhan separuh pertama kepada 3.1 peratus, menurut Retail Group Malaysia (RGM).
Kenanga memaklumkan pengguna semakin kerap membandingkan harga dan memilih diskaun, jenama generik dan alternatif yang lebih murah walaupun RGM mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan runcit 2026 pada 3.8 peratus.
Mengenai prospek, Kenanga menjangka normalisasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027 daripada 2.75 peratus, yang boleh menjejaskan perbelanjaan bukan keperluan asas dan barangan bernilai tinggi.
Menurutnya, kenaikan kos operasi, termasuk buruh, elektrik, pengangkutan dan bahan mentah terpilih, dengan harga jagung dan kacang soya, masing-masing meningkat 14 peratus dan 24 peratus setakat ini tahun ini.
“Syarikat yang mampu meraih manfaat daripada permintaan pengguna yang kekal kukuh tanpa berdepan tekanan kos yang tidak seimbang dijangka berada pada kedudukan yang lebih baik,” menurutnya.
Kenanga memilih syarikat yang mempunyai permintaan yang kekal stabil, pendedahan kos yang terkawal dan prospek pendapatan yang lebih jelas, dengan QL Resources Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor itu.
Menurutnya, jumlah bantuan tambahan kepada isi rumah di bawah Belanjawan 2027 merupakan antara faktor penting yang perlu dipantau, dengan peruntukan SARA atau STR yang lebih tinggi dapat menyediakan penampan yang lebih baik terhadap persekitaran kos dan kadar faedah.
-- BERNAMA