Dunia 08/10/2026 06:38 PM

Kerjasama Strategik Malaysia Mesir Mampu Perkukuhkan Sokongan Terhadap Palestin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerjasama Strategik Malaysia Mesir Mampu Perkukuhkan Sokongan Terhadap Palestin
Prof. Dr. Phar Kim Beng --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Noor Azuki Fahme Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerjasama strategik Malaysia dan Mesir mempunyai potensi besar dalam mengukuhkan sokongan global terhadap perjuangan Palestin serta penyelesaian konflik yang berpanjangan itu berasaskan undang-undang antarabangsa, menurut pakar geopolitik.

Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Phar Kim Beng berkata kedudukan geostrategik dan kelebihan diplomatik kedua-dua negara yang berbeza tetapi saling melengkapi itu, jika digabungkan, mampu menghasilkan tindakan yang lebih praktikal dan terselaras terhadap isu ini.

Beliau berkata Malaysia membawa pengalaman ASEAN yang menekankan dialog, diplomasi, pembinaan konsensus dan pengurusan perbezaan, manakala Mesir mempunyai pengalaman dalam diplomasi Arab dan Afrika serta pengetahuan langsung mengenai perkembangan geopolitik Palestin.

“Hubungan Malaysia-Mesir mempunyai nilai strategik yang lebih luas daripada sekadar kerjasama dua hala.

Ia boleh menghubungkan diplomasi Asia Tenggara dengan diplomasi Asia Barat,” katanya kepada Bernama sempena dengan lawatan sulung Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia mulai Jumaat ini.

Mengulas lanjut mengenai sokongan terhadap Palestin, Phar berkata kerjasama kedua-dua negara boleh dijalin melalui dua peringkat, iaitu peringkat jangka pendek yang menumpukan kepada penyaluran bantuan kemanusiaan asas termasuk  makanan, ubat-ubatan, rawatan perubatan dan kesihatan, air bersih serta perlindungan kanak-kanak.

Phar berkata bagi jangka sederhana dan panjang, kerjasama pembinaan semula Gaza memerlukan pendekatan yang lebih tersusun dengan usaha menangani akar politik konflik ke arah kedamaian yang adil dan berkekalan di Palestin, menjadi matlamat utama.

“Malaysia mempunyai kapasiti melalui kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi perubatan, universiti dan sektor swasta untuk menyumbang kepakaran serta sumber, manakala Mesir mempunyai kelebihan dari aspek lokasi dan logistik kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Gaza,” katanya.

Phar juga melihat status Malaysia dan Mesir dalam Kumpulan BRICS sebagai satu kelebihan yang memberi kedua-dua negara saluran tambahan untuk menyuarakan kepentingan negara membangun dalam forum antarabangsa.

Mesir merupakan anggota penuh BRICS sejak Januari 2024, manakala Malaysia menyertai BRICS sebagai negara rakan pada Januari 2025. 

“Malaysia dan Mesir boleh memperjuangkan multilateralisme yang lebih seimbang; penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, perlindungan orang awam, akses bantuan kemanusiaan dan penyelesaian konflik melalui diplomasi”, katanya.

Beliau berkata isu Palestin boleh menjadi antara isu yang menunjukkan bahawa Selatan Global mempunyai keupayaan bukan sahaja untuk menyuarakan bantahan, tetapi juga menawarkan penyelesaian.

El Sisi dijadualkan melawat Malaysia pada 9 dan 10 Oktober, yang merupakan lawatan pertama Presiden Mesir ke negara ini dalam tempoh hampir tiga dekad.

-- BERNAMA