07/07/2026 07:07 PM

Lawatan Syria Diteruskan Meskipun Letupan Di Damsyik - Macron

ISTANBUL, 7 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada Selasa lawatan rasminya ke Syria diteruskan meskipun terdapat letupan berkembar di Damsyik yang mencederakan 18 orang awal hari itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Tiada apa yang dapat menghalang aspirasi wanita dan lelaki Syria untuk hidup di Syria yang berdaulat sepenuhnya, selamat, pluralistik dan bersatu," menurut hantaran Macron di X.

"Pagi ini saya ‘bertemu’ Syria dalam segala kepelbagaiannya. Saya melihat maruah, keberanian dan keazaman," katanya, sambil menambah bahawa lawatannya "masih berterusan."

Komen itu dibuat selepas dua alat letupan buatan sendiri meletup berhampiran Kementerian Pelancongan Syria di tengah Damsyik, mencederakan 18 orang, termasuk empat pegawai polis, menurut Kementerian Dalam Negeri Syria.

Macron tiba di Damsyik pada Isnin, menjadi presiden Perancis pertama yang melawat Syria dalam tempoh 18 tahun.

Terdahulu pada Selasa, beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa di Istana Presiden di mana kedua-dua pemimpin dijangka menyelia pemeteraian beberapa perjanjian dua hala.

-- BERNAMA-ANADOLU