MPT Meterai MoU Dengan Bukit Merah Laketown Resort, BMOUIF Perkasa Ekosistem Pelancongan
TAIPING, 7 Julai (Bernama) -- Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) bagi memperkukuh ekosistem pelancongan, konservasi dan pendidikan di Perak.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Yang Dipertua MPT Mohamed Akmal Dahalan dengan Pengarah Bukit Merah Sdn Bhd Md Nazri Tumin serta Pengerusi BMOUIF Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad pada majlis yang berlangsung di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari, di sini, hari ini.
Mohamed Akmal berkata kerjasama strategik itu bertujuan membangunkan ekosistem pelancongan, pendidikan, konservasi dan pembangunan komuniti yang lebih bersepadu sekali gus memperkukuh hubungan antara dua destinasi pelancongan utama Perak iaitu Taiping dan Bukit Merah.
Katanya berkata pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk pembangunan pakej pelancongan bersepadu, promosi silang antara destinasi, program pendidikan dan kesedaran konservasi, pembangunan produk pelancongan baharu serta pelaksanaan program komuniti dan kelestarian yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
"Apa yang dimeterai hari ini bukan sekadar sebuah memorandum persefahaman tetapi permulaan kepada pembentukan sebuah ekosistem pelancongan yang lebih bersepadu di Perak.
"Apabila tarikan pelancongan institusi konservasi dan pemain industri berganding bahu, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh organisasi yang terlibat tetapi turut dinikmati oleh masyarakat setempat melalui peluang ekonomi, pendidikan dan pembangunan komuniti yang lebih mampan," katanya pada sidang media selepas majlis permeteraian MoU berkenaan.
Sementara itu, Md Nazri berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah pelawat ke kedua-dua destinasi tetapi mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada usahawan setempat serta menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak di negeri ini.
"Kami juga melihat kerjasama ini sebagai satu platform penting untuk memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
"Selain itu, kami berharap lebih ramai masyarakat khususnya generasi muda dapat didedahkan kepada usaha konservasi dan kepentingan melindungi khazanah alam semula jadi," katanya.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Selepas Menjejaki Kerugian COMEX
- Pelbagai Inisiatif Kerajaan Perkasa Pembangunan Komuniti FELDA
- Fahmi Hargai Komitmen Petugas Bernama Berikan Liputan Komprehensif Sepanjang PRN Johor
- Penyedia Platform Media Sosial Perlu Proaktif Kekang Maklumat Palsu PRN Johor - Fahmi
- PRN Johor: Kehadiran Anwar Bantu Kempen Dapat Sambutan Menggalakkan - Fahmi