Siapa Mampu Ganti Beasley? - Shah Firdaus
NILAI, 7 Julai (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempersoalkan hasrat mana-mana pihak yang mahu menggantikan Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley.
Meluahkan rasa ralat, Shah Firdaus berkata Beasley bukan sekadar jurulatih biasa, malah sudah dianggap seperti figura bapa kepada barisan pelumba negara.
"Kalau tanya saya, saya nak tanya balik kepada mereka, siapa? Kalau mereka nak ganti John (Beasley), siapa yang mampu menggalas tugas itu? Itu persoalan saya.
"Jangan tanya saya, tetapi tanya pihak yang berhasrat menggantikannya itu, siapa yang mereka mahu bawa masuk," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai individu yang layak menggantikan Beasley, yang kontraknya bersama skuad berbasikal trek negara dijadual berakhir pada Januari tahun depan.
Sebelum ini, nama Beasley menjadi perhatian selepas laporan media mendakwa beliau bakal melepaskan jawatan lebih awal susulan kekecewaan terhadap beberapa isu dalaman.
Sementara itu, Shah Firdaus turut mempersoalkan sama ada pihak yang mahu menggantikan Beasley bersedia menanggung kos yang lebih tinggi sekiranya ingin mendapatkan khidmat jurulatih baharu yang lebih berkualiti.
"Kalau ada yang kata bayaran atau kos kontraknya tinggi, persoalannya sekarang, berapa banyak pula yang kita sanggup bayar untuk mendapatkan khidmat jurulatih yang jauh lebih baik daripada beliau?
"Bagi saya, kami yang berlatih di bawah bimbingannya tahu betapa pentingnya beliau. Mungkin penamatan kontraknya tidak memberi kesan langsung kepada saya ketika ini, tetapi pelumba pelapis yang akan meningkat ke peringkat elit nanti pasti akan bergelut tanpa Beasley," kata atlet kelahiran Muar berusia 30 tahun itu.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan nama Beasley tidak tersenarai bersama kontinjen negara ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bermula bulan ini atas faktor teknikal. Beliau menyifatkan ketiadaan jurulatih dari Australia itu bakal memberi cabaran besar kepada barisan pelumba, khususnya dari segi strategi dan taktikal di trek.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri, mengakui kehilangan Beasley akan memberi impak besar kepada skuad negara.
Harnizam, yang kelihatan sebak, berkata hubungan erat yang terjalin sepanjang 16 tahun bekerja bersama menjadikan Beasley bukan sekadar rakan setugas, malah sudah dianggap seperti bapa kandungnya sendiri.
"Memang berat bagi saya (kehilangan Beasley) kerana saya dan beliau sudah bekerja bersama selama 16 tahun. Memang beliau seperti bapa saya.
"Impak beliau sangat besar. Sukan berbasikal trek Malaysia berada pada tahap sekarang, malah pembinaan Velodrom Nasional ini juga hasil daripada perjuangannya dahulu. Kejayaan yang beliau kecapi bersama Datuk Mohd Azizulhasni Awang membolehkan pelumba-pelumba negara hari ini menikmati kemudahan latihan terbaik," katanya.
Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz, meluangkan masa melawat sesi latihan skuad berbasikal trek di sini sebagai persediaan menghadapi temasya sukan empat tahun sekali itu yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
-- BERNAMA
Berita terkini
- MMM Sambut Baik Cadangan PM Anwar Rujuk Aduan Wartawan Kepada Majlis
- Lawatan Syria Diteruskan Meskipun Letupan Di Damsyik - Macron
- MPT Meterai MoU Dengan Bukit Merah Laketown Resort, BMOUIF Perkasa Ekosistem Pelancongan
- Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Rendah
- NBF Thailand Pelawa Malaysia Jalin Kerjasama Penyelidikan Biofarmaseutikal