Tiga Termasuk Dua Pengarah Syarikat Ditahan Kemuka Dokumen Palsu Bernilai RM20 Juta
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Tiga individu termasuk dua pengarah syarikat pemprosesan padi dan beras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan dana Kemudahan Kerja Perdagangan-I untuk pembelian padi dan beras berjumlah RM20 juta.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang mempunyai hubungan kekeluargaan dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun lepas, dengan mengemukakan dokumen berkenaan kepada sebuah institusi kewangan pembangunan, namun urusan pembelian padi dan beras tersebut tidak berlaku.
Seorang daripada suspek yang juga pengurus operasi berusia lingkungan 30-an direman selama lima hari hingga 11 Julai, selepas Majistret Eliana Ismail membenarkan permohonan SPRM, di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Bagaimanapun, dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang merupakan pengarah syarikat dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka direkodkan.
Menurut sumber, pengurus operasi itu ditahan pada 6 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- MMM Sambut Baik Cadangan PM Anwar Rujuk Aduan Wartawan Kepada Majlis
- Lawatan Syria Diteruskan Meskipun Letupan Di Damsyik - Macron
- MPT Meterai MoU Dengan Bukit Merah Laketown Resort, BMOUIF Perkasa Ekosistem Pelancongan
- Niaga Hadapan FBM KLCI Ditutup Rendah
- NBF Thailand Pelawa Malaysia Jalin Kerjasama Penyelidikan Biofarmaseutikal